Perketat pemantauan Pusat Ekuestrian Pahang

Perketat pemantauan Pusat Ekuestrian Pahang

KUANTAN: Anak syarikat Yayasan Pahang, YP Land diminta memperketatkan pemantauan dan menjalankan lawatan berkala secara mingguan di Pusat Ekuestrian Pahang di Tanjung Lumpur di sini bagi memastikan kebajikan haiwan di situ sentiasa terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau komited dalam memastikan setiap pihak yang diberikan tanggungjawab melaksanakan amanah tersebut dengan penuh integriti dan prihatin terutamanya melibatkan aspek penjagaan haiwan serta pengurusan fasiliti di sini.

“Saya mengadakan lawatan mengejut ke Pusat Ekuestrian Pahang di Tanjung Lumpur pada pagi ini bagi meninjau sendiri keadaan semasa dan mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan keadaan kuda serta kemudahan yang disediakan di pusat ini.

“Saya memandang serius laporan yang tular di media sosial berkaitan pusat berkenaan. Untuk makluman, fasiliti ini dimiliki oleh YP Land dan diuruskan syarikat pihak ketiga, A&M EquinElite Management (AMEM).

“Saya sudah mengarahkan pihak YP Land untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung setiap dakwaan yang dibangkitkan serta mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial pada 17 Julai lalu berkaitan pusat ekuesterian tersebut, yang tidak diselenggara hingga membahayakan bukan sahaja pengguna dan pengunjung malah haiwan di situ.

Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa, Pusat Ekuestrian Pahang perlu diselenggara dan dinaik taraf secara menyeluruh bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan berkuda di negeri ini.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata, beliau komited dalam memastikan semua pihak yang diberikan tanggungjawab menjalankan setiap amanah dengan penuh integriti dan prihatin terutama melibatkan aspek penjagaan haiwan serta pengurusan fasiliti di pusat tersebut. – UTUSAN

Scroll to Top