Perkhidmatan choley diperluas di terminal feri Kuala Perlis sempena LIMA’25

Perkhidmatan choley diperluas di terminal feri Kuala Perlis sempena LIMA’25

KANGAR: Perkhidmatan ‘choley’ yang sinonim dengan Kampung Warna-Warni Kampung Seberang Ramai diperluas ke terminal feri Kuala Perlis bermula semalam sehingga Ahad bersempena penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, ia bertujuan bagi menarik perhatian pengunjung melawat sekitar Kuala Perlis menaiki pengangkutan itu sementara menanti ketibaan feri ke Pulau Langkawi.

Katanya, selain itu, inisiatif berkenaan juga dapat mempromosikan choley yang merupakan sebuah pengangkutan diubah suai bagi membawa pelancong melawat sekitar Kampung Warna-Warni Kampung Seberang Ramai.

“Kita mahu gunakan kesempatan penganjuran LIMA’25 ini untuk menarik pengunjung melawat sekitar Kuala Perlis bagi menyemarakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

“Jika di Melaka terkenal dengan perkhidmatan beca, kita mahukan pelancong mengenali Perlis dengan pengangkutan choley untuk melawat tempat-tempat menarik,” katanya selepas meninjau perkhidmatan itu di terminal feri Kuala Perlis, di sini semalam.

Untuk rekod, kerajaan negeri sebelum ini turut mengumumkan melanjutkan TMPs sehingga tahun hadapan bersekali dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, sebanyak tiga choley disediakan di terminal berkenaan bagaimanapun jumlah itu akan ditambah berdasarkan kepada permintaan semasa.

“Keseluruhan sebanyak 30 choley di Kampung Warna Warni Seberang Ramai buat masa ini dan kita akan tambah perkhidmatan di terminal ini mengikut kepada permintaan,” katanya.

Ujarnya Abu Bakar, kadar bayaran yang dikenakan buat pengunjung yang menggunakan perkhidmatan itu di terminal berkenaan juga adalah pada kadar bawah RM30.

Tambahnya, inisiatif itu bagi meluaskan perkhidmatan pengangkutan choley di terminal Kuala Perlis adalah merupakan atas saranan Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk mempromosikan negeri ini.

“Kita akan cuba kembangkankan lagi operasi choley selepas ini dan berbincang bersama agensi-agensi terlibat khususnya tentang pergerakan kemudahan ini di sekitar kawasan Kuala Perlis,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top