Perkhidmatan dalam tentera 10 tahun akan diberi diploma

Perkhidmatan dalam tentera 10 tahun akan diberi diploma

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anggota tentera yang berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sudah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun akan diiktiraf dengan kelayakan diploma.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu sebahagian daripada pendekatan baharu yang diperkenalkan bagi meningkatkan tahap pendidikan anggota.

Katanya, sebagai permulaan, projek rintisnya akan dilaksana di Kem Mahkota di Johor, yang membabitkan 4,600 anggota juga pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota, bulan depan.

“Ada (tentera) yang bekerja sebagai pramusaji, ada yang bekerja di pejabat, ada yang bekerja sebagai mekanik. Kita sedang menterjemahkan pekerjaan itu sebagai suatu latihan.

“Ini bermakna dalam masa bekerja tujuh hingga lapan tahun, dia tidak payah belajar di universiti, dia akan terus diberi diploma.

“Kalau dia pramusaji, dia akan dapat Diploma Hospitaliti. Kalau dia seorang pengurus di pejabat, dia akan mendapat Diploma Pentadbiran. Kalau dia mekanik dan bekerja selama 10 tahun dengan hanya membaiki kereta berkelulusan SPM, dia akan mendapat Diploma Mekanikal,” katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam slot PENTALK di Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mohamed juga Khaled berkata, pendekatan baharu itu juga dijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 sehingga 4,000 anggota tentera, setiap tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top