Perkhidmatan ETS, Komuter terjejas akibat pokok tumbang

Perkhidmatan ETS, Komuter terjejas akibat pokok tumbang

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter kini mengalami gangguan operasi berikutan kejadian pokok tumbang hingga menyebabkan kerosakan talian atas di antara Sungkai dan Slim River, pada jam 4.20 petang tadi.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian itu menyebabkan 12 tiub ‘cantilever’ patah sekali gus menjejaskan bekalan kuasa tren di jajaran berkenaan.

“Insiden ini memberi kesan kepada 12 perkhidmatan ETS dan KTM Komuter bagi laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang – Tanjung Malim.

“Kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian berjaya diselesaikan pada jam 6.53 petang.

“Pada masa ini, kerja baik pulih sistem elektrifikasi sedang giat dilaksanakan oleh pasukan teknikal KTMB dengan kerjasama pihak berkaitan bagi memastikan operasi tren dapat dipulihkan dengan selamat dan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

KTMB berkata, mengikut aturan terkini operasi perkhidmatan ETS, tren dari KL Sentral dan Segamat akan tamat di Stesen Slim River sebelum penumpang dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas ke Stesen Sungkai bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Katanya, perkhidmatan ETS dari Padang Besar dan Butterworth pula akan tamat di Stesen Sungkai dan penumpang akan dipindahkan menggunakan perkhidmatan bas

ke Stesen Slim River bagi meneruskan perjalanan.

“Perkhidmatan KTM Komuter laluan Tanjung Malim – Pelabuhan Klang – Tanjung Malim telah beroperasi seperti biasa namun akan mengalami reaksi kelewatan.

“Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan akibat kelewatan melebihi dua jam layak untuk mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket stesen berdekatan, tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada,” katanya.

Menurut KTMB, makluman berhubung kelewatan perjalanan turut disampaikan kepada penumpang terlibat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai langkah pemberitahuan awal.

“Penumpang yang memerlukan bantuan lanjut boleh mendapatkan khidmat kakitangan

stesen yang bertugas atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200.

“KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesabaran serta kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top