am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) mencatat 1.4 juta penyertaan di seluruh negara setakat tahun lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, jumlah itu sekali gus mencerminkan sambutan positif dan keperluan berterusan komuniti terhadap pembangunan kemahiran digital serta sosioekonomi.
“Penganjuran Hari Bersama Komuniti (HBK) ini mencerminkan peranan Nadi sebagai pusat sehenti komuniti yang bukan sahaja menyediakan akses internet secara kolektif, malah berfungsi sebagai platform memperkasakan komuniti melalui pembangunan kemahiran digital, keusahawanan dan penyebaran inisiatif kerajaan di peringkat akar umbi,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, HBK anjuran MCMC dengan kerjasama Nadi di Taman Desa Belantik di sini, hari ini, menarik penyertaan aktif daripada golongan komuniti setempat.
Program yang dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk sesi Kempen Internet Selamat, inisiatif berterusan MCMC bagi melindungi pengguna digital, terutamanya kanak-kanak.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.
Sepanjang 2025, sebanyak 9,666 program Kempen Internet Selamat dilaksanakan di seluruh negara.
HBK turut menawarkan pelbagai pengisian Perkhidmatan Pintar Nadi, antaranya e-Sukan, Tuisyen DiLea, Nadi Mahir Baiki Gajet, saringan kesihatan, serta pameran dan jualan oleh usahawan Nadi.
Selain itu, program itu juga menampilkan pameran dan perkhidmatan agensi lain seperti Kaunter eKasih oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Kempen Elektrik Selamat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Terdahulu, Fahmi beramah mesra dengan kanak-kanak serta mengingatkan mereka supaya tidak menggunakan telefon pintar terlalu lama, sebaliknya meluangkan masa bermain bersama rakan-rakan selain sempat bergambar bersama penduduk setempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




