kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Penyertaan rasmi Malaysia dalam Brics (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) sebagai negara rakan baharu dilihat bukan saja mampu memberi impak positif kepada perdagangan negara, malah mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada dolar Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Menurutnya, gabungan ekonomi besar ini menawarkan alternatif perdagangan yang akan membantu Malaysia mengurangkan risiko ekonomi akibat pergantungan terhadap mata wang tunggal, terutama apabila krisis nilai dolar AS mungkin mengancam kestabilan ekonomi global.
“Dengan mengurangkan kebergantungan pada dolar, Brics berpotensi memberikan lebih banyak kestabilan kepada negara anggotanya melalui sistem pertukaran alternatif yang berasaskan pelbagai mata wang.
“Brics yang dianggotai oleh negara besar seperti Rusia, China dan India turut menawarkan peluang pelaburan yang lebih luas untuk Malaysia,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, penambahan Malaysia dalam BRICS juga membolehkan peningkatan Pelaburan Asing Langsung (FDI) dalam negara kerana ahli Brics cenderung untuk memfokuskan pelaburan sesama negara anggota.
Beliau berkata, peluang ini dapat memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia, yang mana ia dapat menambah daya saing negara melalui peningkatan kemasukan dana pelaburan baharu dalam pelbagai sektor.
“Melalui Brics, Malaysia dapat mempelbagaikan pasaran perdagangannya yang kini masih sangat bergantung pada negara utama seperti Singapura dan Amerika Syarikat.
“Kepelbagaian ini akan membantu mengurangkan risiko ekonomi, jika salah satu negara utama mengalami masalah ekonomi yang serius,” katanya.
Ahmed Razman berkata, melalui platform BRICS, Malaysia juga boleh menjalin hubungan perdagangan lebih erat dengan negara dari Asia Barat, Afrika dan Amerika Latin, sekali gus membuka peluang kepada produk dan perkhidmatan tempatan menembusi pasaran baharu.
“Inisiatif Brics dalam memperkenalkan sistem perdagangan bebas dolar juga menarik bagi negara yang ingin memperkukuh kedaulatan kewangan masing-masing.
“Selain itu, kesan ke atas peniaga Malaysia juga dijangka positif, memandangkan platform ini dapat memberi mereka akses lebih mudah kepada negara berpotensi untuk menjalin perdagangan yang lebih inklusif,” katanya.
Katanya, Brics juga menyediakan platform untuk negara anggota berdagang dalam mata wang masing-masing atau dalam mata wang rakan anggota yang stabil, menjadikannya pilihan menarik untuk perdagangan jangka panjang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




