Perlakuan ingar, nafi, remehkan titah Agong adalah derhaka

Perlakuan ingar, nafi, remehkan titah Agong adalah derhaka

PETALING JAYA: Sebarang perlakuan mengingkari, menafikan atau cuba meremehkan mana-mana titah yang dizahirkan oleh institusi Yang di-Pertuan Agong oleh mana-mana pihak adalah penderhakaan besar kepada raja dan negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, adalah kewajipan bagi semua rakyat Malaysia untuk menjunjung tinggi serta memartabatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Beraja sebagai lambang kedaulatan negara.

Katanya, ia termaktub di dalam dalam Perlembangaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan atau mana-mana pihak mempunyai obligasi menyempurnakan titah institusi Yang di-Pertuan Agong yang dibuat dengan teratur mengikut lunas perundangan negara, termasuk dalam hal-hal di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bersabit pengampunan diraja, penangguhan atau peringanan sesuatu hukuman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Hamzah yang juga Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) juga mengimbau kontroversi Titah Adendum yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, yang didakwanya disorok dan kini episod hampir serupa berulang kembali.

“Perlu ditegaskan apa-apa perlakuan ingkar, menafikan atau cuba meremehkan mana-mana titah yang dizahirkan oleh Institusi Yang di-Pertuan Agong oleh mana-mana pihak adalah merupakan satu penderhakaan besar kepada raja dan negara,” katanya.

Beliau berkata, prinsip ini turut diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes berkaitan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan prerogatif pengampunan diraja adalah bersifat non-justiciable,

Katanya, ia tidak boleh dipersoalkan atau disemak oleh mana-mana pihak termasuk mahkamah.

“Sebagai pihak yang mendapat pengampunan diraja di bawah Perkara 42, selepas disabitkan kesalahan jenayah dan dihukum penjara, Anwar sepatutnya lebih faham tentang obligasi kerajaan menyempurnakan titah institusi Yang di-Pertuan Agong, – tetapi beliau menyebut “secara peribadi tidak bersetuju”,” katanya.

Tegasnya, kerajaan tidak boleh bersikap selektif kerana institusi Yang di-Pertuan Agong ialah tonggak kedaulatan negara.

“Memelihara kewibawaan dan kedaulatannya bukan pilihan politik, tetapi tanggungjawab Perlembagaan setiap kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN 

Scroll to Top