Perlantikan Sohail langkah tepat – Amin

Perlantikan Sohail langkah tepat – Amin

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelantikan bekas pakar pukulan sudut penalti Pakistan, Sohail Abbas sebagai penolong jurulatih Speedy Tigers dilihat satu langkah tepat dari Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi mengatasi kepincangan yang sering membazirkan peluang dalam situasi itu.

Bekas ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim berkata, reputasi serta pengalaman yang ada kepada Sohail itu amat berharga dan harus digunakan sebaik mungkin terutama pemain muda.

“Kita tahu dia seorang pemain yang terbaik di dunia kerana mempunyai kepakaran melalui PC dan kita perlu lihat apa perancangan dia untuk membantu pasukan negara.

“Dalam skuad senior ketika ini, terdapat beberapa pemain muda yang berbakat dalam PC dan mereka perlu cepat belajar mendapatkan teknik yang bagus kerana ia bukan mudah untuk kita mendapat seorang yang memang mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

“Bagi pemain senior seperti Faizal (Saari) pasti mempunyai gaya dan teknik tersendiri dan untuk ubah akan menjadi sedikit sukar. Kalau pemain baru atau muda, ia akan jadi lebih mudah serta senang untuk mereka belajar cara menghasilkan pukulan sudut penalti yang bagus,” katanya.

Selain itu, Amin yang juga dikenali sebagai bekas pakar pukulan sudut penalti dalam skuad negara satu ketika dahulu menyifatkan seseorang itu harus menguasai pelbagai aspek yang boleh menghasilkan jaringan dalam apa jua situasi.

“Kalau kita nak klasifikasikan seseorang itu sebagai pakai PC, pemain itu mesti boleh menghasilkan jaringan bukan sahaja melalui pukulan terus tetapi juga mampu mencetak gol menerusi ‘set piece’.

“Kalau pemain itu boleh melakukan dua perkara ini termasuk mengimbangi tekanan perlawanan, boleh baca pergerakan pelari dan pertahanan lawan dengan baik, saya rasa dia layak untuk digelar pakar PC,” katanya.

Untuk rekod, ketika Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 bulan lepas, skuad kendalian Sarjit Singh memperolehi kesempatan melalui pukulan sudut penalti paling banyak dengan 47 peluang tetapi hanya mampu mendapatkan sembilan jaringan sahaja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top