Perlawanan amal Jamaludin Norbit, PBMM bantu ringankan beban

Perlawanan amal Jamaludin Norbit, PBMM bantu ringankan beban

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) terus komited dalam membantu dan meringankan beban ditanggung bekas pemain negara terutama yang bertarung dengan masalah kesihatan.

Terbaharu, PBMM yang dipimpin Presidennya, Mohd Firdaus Mohamed tampil meringankan beban legenda bola sepak Selangor dan Harimau Malaya, Jamaludin Norbit yang mengalami masalah kesihatan.

Lantas, satu perlawanan amal dianjurkan antara pasukan veteran PBMM dan pasukan veteran Kelab Aman diadakan bagi mengumpul dana dan hasil kutipan itu diserahkan kepada Jamaludin Norbit.

“Alhamdulillah kita selesai menganjurkan perlawanan amal untuk bekas pemain Selangor dan negara yang sudah banyak berjasa kepada bola sepak negara.

“Ini hanyalah sumbangan kecil untuk saudara Jamaludin yang kita masih ingati antara tonggak tengah terbaik negara yang pernah mewarnai arena bola sepak tanah air.

“Ramai bekas-bekas rakan sepasukan hadir pada perlawanan ini. Kami doakan dia kuat dan moga sihat kembali,” kata Firdaus yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sumbangan disampaikan Naib Presiden PBMM, Zamri Mazleh kepada anak perempuan Jamaludin yang hadir ke perlawanan amal itu sambil disaksikan Firdaus dan rakan sepasukan lain.

Keputusan perlawanan amal itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 5-5 yang diadakan di Kelab Aman, di sini, Jumaat lalu.

Untuk rekod, Jamaludin Norbit bersama dua lagi abangnya iaitu Zulkifli Norbit dan Mohd Shah Norbit dianggap trio terbaik negara di era kegemilangan bola sepak Malaysia pada hujung 60an dan 70an.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top