Perlawanan berisiko tinggi Serie A 2025/26 diadakan pada sebelah siang

Perlawanan berisiko tinggi Serie A 2025/26 diadakan pada sebelah siang

Rom: Kementerian Dalam Negeri Itali mengumumkan bahawa semua perlawanan berisiko tinggi dalam saingan Serie A musim 2025-26 tidak akan dijadualkan pada waktu malam susulan insiden keganasan membabitkan penyokong dalam pertembungan tetangga Rom, hujung minggu lalu.

Perlawanan antara AS Roma dan Lazio yang bermula pada jam 8.45 malam waktu tempatan Ahad lalu dicemari kekecohan apabila ultras kedua-dua pasukan bertempur dengan pihak polis di sekitar ibu kota Itali sebelum sepak mula.

Menurut agensi berita tempatan, kementerian turut mengenakan larangan perjalanan ke stadium bagi penyokong Roma dan Lazio untuk tiga perlawanan tempat lawan akan datang sebagai langkah keselamatan tambahan.

“Bermula musim 2025-26, perlawanan berisiko tinggi tidak lagi dibenarkan berlangsung pada waktu malam, seperti yang berlaku dalam perlawanan Lazio menentang Roma,” kata kementerian dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam insiden itu, pihak polis terpaksa menggunakan meriam air bagi menyuraikan penyokong yang bertindak agresif dengan membawa besi dan tukul.

Seramai 24 individu dilaporkan cedera, manakala tiga penyokong tegar Lazio dan tiga dari Roma ditahan.

Langkah ini dilihat sebagai usaha tegas pihak berkuasa Itali untuk mengekang budaya hooliganisme yang masih berakar umbi dalam kalangan sebahagian penyokong bola sepak di negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top