Perlawanan pickleball eratkan hubungan dua hala SPRM dan PDRM Selangor

Perlawanan pickleball eratkan hubungan dua hala SPRM dan PDRM Selangor

mhafis@mediaprima.com.my

Shah Alam: Suruhanjaya Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor terus mengukuhkan kerjasama strategik dengan polis Selangor menerusi Perlawanan Persahabatan Pickleball, kelmarin.

Penganjuran program ini adalah salah satu inisiatif ke arah memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara agensi penguatkuasaan dalam usaha menyokong agenda integriti nasional serta mempertingkatkan kesejahteraan warga kerja.

Perlawanan ini diserikan dengan kehadiran Pengarah SPRM Negeri Selangor, Mohd Azwan Ramli dan Ketua Polis Selangor, DatukShazeli Kahar.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan serta warga kerja daripada SPRM Negeri Selangor dan IPK Negeri Selangor yang bersama-sama memeriahkan suasana program dalam semangat kebersamaan dan profesionalisme.

Mohd Azwan berkata, kerjasama strategik bukan sahaja tertumpu kepada tugasan rasmi semata, namun dengan aktiviti riadah seperti bersukan sebegini juga dilihat suatu bentuk kerjasama dalam mempereratkan lagi hubungan selain dapat bertukar pandangan secara lebih santai dan lebih bermakna.

Menurutnya, perlawanan yang berlangsung dalam suasana kondusif, harmoni serta kompetitif ini memperlihatkan tahap disiplin, kerjasama berpasukan dan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan peserta.

“Penganjuran perlawanan ini dilihat memberi impak positif yang signifikan kepada kedua-dua organisasi, khususnya dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

‘Selain itu, program ini turut berperanan sebagai platform interaksi tidak formal yang berkesan dalam memupuk semangat setiakawan, meningkatkan moral dan kesejahteraan warga kerja serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di samping itu, nilai-nilai murni seperti disiplin, kepimpinan, kerjasama berpasukan dan semangat kesukanan yang diterapkan melalui aktiviti ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

“Secara keseluruhannya, penganjuran Perlawanan Persahabatan Pickleball ini telah berjaya mencapai matlamatnya dalam mempererat hubungan dua hala antara SPRM Negeri Selangor dan IPK Negeri Selangor.

“Program seumpama ini wajar diteruskan secara berterusan sebagai platform strategik dalam memperkukuh integrasi antara agensi, seterusnya menyokong usaha memperkasa tadbir urus yang berintegriti, telus dan berakauntabiliti dalam perkhidmatan awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top