Perlekeh orang jual ikan, sekurangnya saya guna duit sendiri, bukan duit rakyat– Akmal Saleh

Perlekeh orang jual ikan, sekurangnya saya guna duit sendiri, bukan duit rakyat– Akmal Saleh

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan susulan sindiran terhadap kegiatan perniagaan ikan yang diusahakannya.

Muhamad Akmal menegaskan, beliau menggunakan wang sendiri untuk menjalankan perniagaan berkenaan tanpa melibatkan sebarang peruntukan atau dana rakyat.

Menerusi hantaran Facebook pada Sabtu, beliau turut mempersoalkan tindakan Sany yang didakwanya berdiam diri terhadap pemimpin DAP yang meminta sumbangan orang ramai bagi membayar saman.

“Nak memperlekehkan orang jual ikan ikut kamu lah wahai Sany. Sekurangnya saya jual ikan milik saya dan guna duit saya sendiri tanpa satu sen duit rakyat saya gunakan.
“Kawan-kawan DAP kamu minta sumbangan, kamu diam membisu,” katanya.

Dalam hantaran sama, Muhamad Akmal turut menyindir tindakan pihak tertentu yang didakwanya menjual seluar dalam bagi mengumpul dana, namun tidak menerima kritikan serupa daripada Sany.

“Itu pun kamu tidak perlekehkan pula.
“Lupa, abang besar jangan disentuh,” katanya.

May be an image of text

Terdahulu, Sany ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat menyindir seorang Ketua Pemuda parti politik yang sebelum ini lantang memperjuangkan isu Melayu, Islam dan institusi diraja, namun didakwanya menunjukkan percanggahan pendirian dalam isu membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan.

Beliau turut membangkitkan tindakan pemimpin politik yang menggunakan sentimen bangsa, agama dan raja untuk meraih sokongan, selain menyebut mengenai seorang Ketua Pemuda yang kini menjalankan perniagaan menjual ikan.

Kenyataan tersebut mencetuskan reaksi Muhamad Akmal yang mempertahankan kegiatan perniagaannya sambil mempersoalkan sikap Sany terhadap tindakan pemimpin parti sekutunya.

Sumber: FB Akmal Saleh

Scroll to Top