Kuala Lumpur: Seluruh Perlis, empat daerah di Kedah dan satu di Perak mencatatkan gelombang haba Tahap 2, manakala 13 kawasan lain di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 iaitu berjaga-jaga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan dalam kemas kini status cuaca panas pada 4 petang, empat daerah di Kedah yang terlibat ialah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Baling manakala Perak melibatkan daerah Hulu Perak.
Sementara itu, 13 kawasan yang berada pada Tahap 1 adalah Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Sik, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah, Timur Laut dan Utara (Pulau Pinang) serta Selama, Kinta, Kuala Kangsar dan Perak Tengah di Perak.
Menurut MetMalaysia, Tahap 2 atau gelombang haba diisytiharkan apabila suhu maksimum harian melebihi 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Manakala Tahap 1 pula merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian boleh dirujuk di MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/.
© New Straits Times Press (M) Bhd




