KANGAR: Pasukan Perlis Old School yang turut dibarisi para pemain legenda Singa Utara seperti Saidin Osman berjaya menewaskan Bekpes Hot FC 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi persahabatan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini semalam.
Perlawanan yang berlangsung sengit itu berlarutan sehingga penentuan sepakan penalti selepas kedudukan seri 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Aksi persahabatan tersebut diserikan dengan kehadiran Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan itu.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil
Baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemain dan pemenang.
Perlawanan berkenaan juga adalah bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, inisiatif penganjuran perlawanan tersebut amat dihargai dalam menyemarakkan lagi sukan di negeri itu.
“Ini menggambarkan bahawa Perlis masih aktif dalam bidang sukan khususnya bola sepak dan ia juga sebagai salah satu acara penutup bersempena sambutan Jubli Perak,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, perlawanan tersebut cukup istimewa kerana ia menjadi medan himpunan semula pemain legenda Perlis.
”Ia mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan bola sepak Perlis yang banyak melahirkan pemain berbakat.
”Tuanku Raja Muda Perlis juga sanggup tunggu sehingga perlawanan habis kerana baginda adalah penyokong tegar bola sepak. Kehadiran bekas pemain kebangsaan seperti Zaquan Adha dan Amri Yahyah turut menjadi kenangan hebat,” katanya.-UTUSAN




