Kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk meluahkan pandangan tanpa batas, sebaliknya perlu disertai adab, tanggungjawab dan hujah yang kukuh, terutama ketika berdepan perbezaan pendapat.
Bukan alasan untuk abaikan adab dalam berkomunikasi
Memetik laporan daripada Berita Harian, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menyatakan, budaya ilmu yang berterusan perlu dibina dengan kesedaran bahawa setiap pandangan yang diluahkan harus disertai adab dan tanggungjawab, termasuk dalam kalangan ibu bapa serta masyarakat.
“Kebebasan bersuara tidak bermakna kita boleh bebas menyuarakan pandangan dengan sebebas-bebasnya. Ia ada tanggungjawab.
“Sebab itu pada peringkat mana pun kita sama ada ibu bapa mahupun masyarakat, walaupun kita mendukung penuh aspek bahawa ada ruang untuk bersuara, ia mesti didasari oleh adab serta tanggungjawab dan paling penting ialah bagaimana kita menggunakan ruang itu sekiranya kita berbeza pandangan.
“Perbezaan pandangan seharusnya menjadi ruang bagi memperkukuh pemikiran dan wacana ilmu, bukannya alasan untuk mengabaikan adab dalam berkomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pidato Arena Wacana Aspirasi Mahasiswa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Naib Canselor UTeM, Datuk Dr Massila Kamalrudin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Mohd Salahuddin Mohamed; dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dr Noraisah Spahat.

Menurut Fadhlina, masyarakat perlu memahami bahawa perbezaan pandangan mempunyai pedoman yang perlu dipatuhi bagi memastikan perbincangan berlangsung secara matang dan bertanggungjawab.
Beliau turut merujuk karya Adab al-Ikhtilaf atau adab berbeza pandangan oleh Dr Taha Jabir al-Alwani yang menekankan kepentingan menjaga adab ketika menguruskan perbezaan pendapat.
Katanya, keupayaan mempertahankan sesuatu pandangan juga perlu disokong dengan hujah yang kukuh, bukannya sekadar meluahkan pendapat tanpa asas yang jelas.
“Kekuatan tidak hadir secara spontan, sebaliknya terbina menerusi latihan, persediaan dan usaha berterusan.
“Justeru, pembudayaan adab dalam berbeza pandangan perlu terus dipupuk bagi memastikan kebebasan bersuara menjadi asas kepada pembinaan masyarakat berilmu, matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Sumber: Berita Harian (Amir Mamat)




