asyikin.mat@hmetro.com.my
PELANCARAN Blueprint Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) diharap dapat memenuhi keperluan bekalan makanan berkhasiat, selamat dan mencukupi yang berterusan kepada penduduk di negara ini.
Keterjaminan makanan antara isu penting perlu diberi perhatian serius oleh setiap negara termasuk Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perubahan iklim yang pesat ketara ini menyebabkan cabaran memastikan keterjaminan makanan turut semakin meningkat.
Menurutnya, kementerian sebagai peneraju transformasi pertanian negara melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan tahun 2021 hingga 2025.
“Selain itu, Dasar Agromakanan Negara 2.0 antara teras dasarnya ialah membangun bakat yang memenuhi permintaan industri, dapat direalisasikan melalui program latihan dan sistem pendidikan mengasah kemahiran semasa serta masa hadapan dalam sektor agromakanan.
“Ini, sekali gus membangunkan tenaga kerja yang mantap untuk industri agromakanan,”katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan UPM, baru-baru ini.
Beliau berkata, kedudukan Malaysia dalam penarafan global menunjukkan cabaran besar terhadap sektor agromakanan, terutama dengan tahap sara diri yang rendah bagi makanan asas seperti beras (62.6 peratus), daging lembu (14.8 peratus), kambing (8.7 peratus) dan susu cecair (57.3 peratus) pada 2022.
“Defisit perdagangan makanan yang signifikan sebanyak RM31 bilion, dengan import makanan RM75.6 bilion berbanding eksport RM44 bilion, memperlihatkan kelemahan dalam ketersediaan dan kebolehcapaian makanan.
“Semua pihak berkepentingan bertanggungjawab memastikan tahap keterjaminan makanan negara stabil dan lestari.
“Komitmen semua pihak berkepentingan seperti kerajaan, komuniti tani, masyarakat, pelajar, rakan strategik dan peranan secara langsung yang dimainkan UPM.
“Ia penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara ke arah peningkatan produktiviti, penjanaan pendapatan, potensi teknologi pertanian dan sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Mohamad berkata, berdasarkan situasi semasa, sektor pertanian tidak terkecuali dalam era pendigitalan dan automasi, termasuk penguasaan teknologi pertanian berasaskan kecerdasan buatan.
Katanya lagi, kementerian bersedia menjadi rakan strategik UPM dengan memberi perhatian khusus, menerapkan aspek digitalisasi seperti internet pelbagai benda (IoT) dalam projek pertanian serta agromakanan selari dengan Revolusi Perindustraian (IR4.0).
“Ia penting kepada pengukuhan, pemerkasaan peladang, penternak dan nelayan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



