khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak berkuasa lain seharusnya meneruskan operasi setiap hari terhadap kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pengeluaran 5,306 notis kesalahan bermula 25 Disember lalu juga membuktikan isu ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan keselamatan jalan raya oleh syarikat berkenaan.
“Jangan ada penguatkuasaan yang bermusim. Kalau boleh setiap hari penguatkuasaan itu harus dilakukan setiap hari.
“Ia supaya pihak syarikat yang tidak bertanggungjawab itu sedar bahawa mereka perlu mematuhi peraturan,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Sebelum ini, JPJ dilapor mengeluarkan 5,306 notis kesalahan terhadap 17,729 kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang diperiksa dalam tempoh lima hari Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara yang bermula 25 Disember lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dilapor berkata, dalam operasi itu sebanyak 16 kenderaan disita membabitkan 15 kenderaan perdagangan dan satu kenderaan perkhidmatan awam.
Lee menegaskan, pihak berkuasa seharusnya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan.
Katanya, sekiranya syarikat kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam itu tidak membayar notis, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan tindakan lain seperti undang-undang.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula diskaun pemberian saman kepada semua kenderaan.
“Barulah mereka melihat pengeluaran saman itu serius dan mesti menjelaskannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




