lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan negeri digesa meneruskan larangan jualan rokok elektronik atau vape mahupun rokok konvensional secara menyeluruh bagi melindungi kesihatan rakyat terutama generasi muda.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, mereka tidak seharusnya tunduk kepada tekanan pihak industri terbabit yang kini cuba mengalihkan isu kesihatan kepada isu kawal selia produk vape.
Beliau yang juga Dekan Pusat Pengajian Citra UKM berkata, rokok dan vape bukan sahaja menggalakkan ketagihan nikotin, malah berisiko disalahgunakan untuk bahan terlarang seperti dadah, terutamanya melalui vape yang tidak dikawal selia dengan baik.
“Rokok dan vape membawa risiko kesihatan serius, malah kini menjadi ancaman kepada pelajar apabila vape haram dijual secara terbuka dan dicampur dengan dadah tanpa pengetahuan pengguna,” katanya.
Terdahulu, Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move) dilaporkan berkata, pengharaman vape bukanlah penyelesaian terbaik, sebaliknya pendekatan kawal selia lebih ketat perlu dilaksanakan untuk melindungi pengguna dan masyarakat.
Mengulas lanjut, Dr Sharifa berkata, meskipun vape pada asalnya diperkenalkan sebagai alternatif berhenti merokok, penyalahgunaan dan kurang kawal selia menyebabkan kesannya semakin membimbangkan seperti rokok konvensional.
“Vape bukan 100 peratus selamat. Ia masih mengandungi nikotin dan bahan kimia lain yang berpotensi merosakkan sel, mencetus keradangan dan penuaan awal.
“Kajian makmal menunjukkan kesan negatif terhadap tikus dan tisu dan jika dicampur bahan terlarang, ia boleh jadi lebih bahaya daripada rokok,” katanya.
Menurutnya, di negara seperti Norway, kejayaan mengekang ketagihan rokok dicapai melalui sekatan menyeluruh dan penggunaan alternatif seperti snus (produk tembakau) yang dikawal ketat.
Katanya, meskipun usaha menyekat sepenuhnya rokok dan vape menjadi cabaran besar, ia bukan mustahil jika dimulakan dengan kawalan ketat dan langkah berfasa.
“Jika kita hanya haramkan vape tetapi rokok masih dijual murah dan mudah diakses, maka pengguna akan beralih semula ke rokok.
“Keadaan ini tidak menyelesaikan masalah ketagihan, malah mengekalkan beban kesihatan negara,” katanya.
Antara langkah yang disyorkan termasuk mengenakan larangan jualan, mengehadkan akses kepada golongan tertentu dan memperketat penguatkuasaan terhadap penjual haram.
Beliau turut menggesa supaya produk vape dan rokok yang masih berada di pasaran perlu menjalani ujian kualiti dan toksikologi yang ketat seperti diamalkan di United Kingdom.
Untuk rekod, kerajaan negeri Kelantan sudah mengharamkan penjualan vape sejak 2015, diikuti Johor pada 2016, Terengganu dan Perlis (berkuat kuasa 1 Ogos ini), serta Kedah yang menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen mulai 2026.
Ketika ini, penjualan vape di Malaysia tertakluk kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dibentangkan dan diluluskan tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




