Perlu siasatan menyeluruh berkaitan kartel logo halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Johor Bahru – Siasatan menyeluruh dan tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan dalam pembongkaran kartel yang memalsukan logo halal daging diimport di pasaran Malaysia.
Pemangku Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor, Muhammed Farhan Basheer berkata, ia perlu agar sindiket terlibat tidak lagi terlepas termasuk melepasi agensi penguatkuasaan.
Beliau berkata, penipuan logo halal adalah perbuatan serius dan menunjukkan terdapat pihak sengaja membekal barangan makanan tidak halal tetapi dilabelkan sebagai halal untuk mengaut keuntungan.
“Penipuan logo halal ini perlu diambil berat kerana melibatkan kehidupan dan pematuhan umat Islam terhadap suruhan agama supaya mengambil makanan dan minuman yang halal.
“Selain produk daging sejuk beku, kerajaan juga perlu membuat semakan semula status produk import berasaskan daging lembu, ayam dan kerbau yang menggunakan logo halal.
“Justeru, siasatan sehingga ke akar umbi perlu dilakukan dan mengenakan hukuman setimpal terhadap semua yang terlibat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, siasatan tegas dan telus perlu melibatkan pelbagai pihak antaranya polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kewujudan kartel membawa masuk sejumlah kontena berisi daging sejuk beku juga menunjukkan kemungkinan terdapat ketirisan penguatkuasaan agensi tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammed Farhan juga berharap sektor terlibat seperti operator hotel, restoran, rangkaian pasar raya serta stokis lebih peka bagi memastikan sumber bekalan daging mereka.
Semalam Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyerbu sebuah stor di Senai, dekat sini yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

ZA137 Malay News
National Desk