Perluas CCTV di lokasi hotspot

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan negeri sedang memperluas penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi hotspot sampah haram bagi membantu pemantauan dan pengesanan kesalahan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan yang merangkumi pencegahan, pemantauan, pembersihan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang memperluas penggunaan CCTV di lokasi hotspot sampah haram di samping memperkukuh tindakan bersepadu antara pihak berkuasa tempatan (PBT), KDEB Waste Management, Pejabat Daerah dan Tanah PDT) dan agensi penguatkuasaan berkaitan.

“Keutamaan ketika ini adalah menangani 76 tapak yang masih aktif, terutama lokasi yang berulang atau dikenal pasti sebagai hotspot, melalui pemantauan lebih kerap, tindakan pembersihan serta penguatkuasaan oleh PBT bersama agensi berkaitan.

“Pendekatan kerajaan negeri bukan sekadar membersihkan sampah selepas ia dibuang. Fokus kita adalah untuk memutuskan kitaran pembuangan sampah haram supaya lokasi yang dibersihkan tidak kembali menjadi tapak sampah haram,” katanya.

Muka depan Harian Metro secara eksklusif melaporkan tawar harga bayaran lebih murah kepada pelanggan untuk membuang sampah.

Itu taktik pengusaha atau pemandu lori mengambil sisa sampah sebelum dibuang secara haram di kawasan terpencil, tepi rizab jalan atau tanah terbiar.

Malah bagi mengelak perbuatan mereka dikesan, kegiatan itu akan dilakukan pada lewat malam atau awal pagi dan dipercayai dilindungi atau berkomplot dengan pihak tertentu untuk mengelak dikenakan tindakan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Syahrul Nizam Saleh berkata, hasil siasatan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihaknya menunjukkan bahawa aktiviti pembuangan sampah haram ini membabitkan sama ada individu persendirian, syarikat atau kontraktor yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, menerusi pemantauan di lapangan, SWCorp turut mengesan kewujudan pihak tertentu yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan dan pelupusan sisa secara tidak sah dan disyaki mengenakan bayaran pada kadar harga yang jauh lebih murah berbanding caj pelupusan di tapak pelupusan berlesen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top