Perluas literasi bank digital golongan B40

Perluas literasi bank digital golongan B40

Kuala Lumpur: Bank digital di Malaysia sedang meningkatkan usaha untuk menjangkau golongan B40 yang kurang mendapat perkhidmatan terutama mereka yang berada di luar bandar.

Ini akan dilakukan dengan menyepadukan perkhidmatan perbankan ke platform popular dan menawarkan insentif menarik bagi menggalakkan penggunaannya.

Tiga daripada lima bank digital berlesen di Malaysia, iaitu GX Bank Bhd, Aeon Bank (M) Bhd, dan Boost Bank oleh Axiata dan RHB, kini memberi tumpuan kepada keterangkuman kewangan dan literasi yang menyasarkan kepada komuniti berkenaan.

Ramai golongan B40 lebih cenderung menyimpan wang mereka di rumah dan tidak menggunakan kemudahan perbankan yang lain kerana mereka masih belum mengetahui tentang bank digital, peranan dan faedahnya.

Ahli Ekonomi Geoffrey Williams berkata, perbankan digital adalah penyelesaian yang berpotensi bagi segmen pelanggan yang tidak mempunyai akaun bank, terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah atau di kawasan terpencil, kerana ia menyediakan akses kepada perkhidmatan dengan hanya menggunakan telefon dan juga menerusi liputan rangkaian.

Bagaimanapun, Williams berpendapat bahawa kaedah pemasaran untuk bank digital kelihatan menarik pasaran berpendapatan tinggi dan golongan muda, dengan menekankan kemudahan untuk golongan kaya dan golongan era digital.

“Jadi, nampaknya terdapat ketidakpadanan dalam kumpulan sasar atau strategi pemasaran. Bahkan, nomad digital pun mendapati sukar untuk menggunakan bank digital di Malaysia kerana pelanggan asing dikenakan sekatan atau bahkan ditolak,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau menekankan bahawa industri perlu mengubah pemikiran dan pendekatan mereka untuk menumpukan semula kepada pasaran sasaran teras.

“Saya mencadangkan semua keperluan semasa dikaji semula dan melihat yang mana menjadi halangan untuk golongan berpendapatan rendah,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Perkongsian di Penyedia Penyelesaian Perbankan Digital Audax, Indra Salim berkata, pendidikan dan kebolehcapaian adalah penting untuk meningkatkan penerimaan perbankan digital, terutamanya di kawasan luar bandar yang mana infrastruktur untuk perbankan tradisional adalah terhad.

“Satu-satunya cara untuk memperkenalkan individu-individu ini kepada perbankan digital adalah melalui platform yang sudah biasa digunakan oleh mereka.

“Sebagai contoh, menawarkan akaun simpanan dan ganjaran melalui aplikasi (app) atau aplikasi membeli-belah yang boleh menjadi pencetus perubahan. Ia tentang bertemu mereka di mana mereka berada dan menawarkan nilai yang relevan dengan kehidupan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top