Permainan rancang strategi rampas ganjaran

Permainan rancang strategi rampas ganjaran

saufi@mediaprima.com.my

Pembangun permainan, ‘Embark Studios’, terus menjadi bualan komuniti peminat permainan video antarabangsa apabila berjaya menerbitkan satu judul permainan berasaskan ‘rampasan ganjaran’ (looter-shooter) yang mempunyai dinamika unik.

Judul permainan, ‘Arc Raiders’, berjaya mencatatkan beberapa rekod baharu termasuk jumlah pemain aktif 700,000, sekali gus memecah rekod beberapa judul permainan yang lain.

Arc Raiders ialah sebuah permainan penembak berasaskan rampasan ganjaran yang menuntut strategi, fokus dan disiplin sejak detik pertama pemain memasuki dunia ‘Rubicon’.

Pada permukaan, ia mungkin kelihatan mudah, namun apabila berdepan ‘ARC’ iaitu robot autonomi yang agresif, ramai pemain baharu cepat menyedari bahawa survival memerlukan lebih daripada sekadar menembak musuh.

Genre permainan survival ini semakin mendapat tempat dan Arc Raiders memberi definisi baharu kepada genre berkenaan.

Jika dibandingkan dengan judul, ‘Escape From Tarkov’, permainan Arc Raiders lebih mudah untuk difahami dan pemain tidak memerlukan masa yang lama untuk mempelajari perkara asas seperti kelengkapan, peta permainan dan sebagainya.

Bagi judul Escape From Tarkov, pemain perlu menghabiskan masa puluhan jam untuk mempelajari sesebuah peta sebelum masuk ke tahap berikutnya yang akan memakan masa ratusan jam permainan.

Tanpa pemahaman asas seperti cara melakukan rampasan (‘looting)’, memilih kelengkapan (‘loadout’) dan membina aliran kemahiran (‘skill tree’), pemain akan mudah mengulangi kesilapan.Asas paling penting untuk difahami ialah pemain perlu berfikir seperti seorang yang mahu terus hidup, bukan seperti wira solo.

Musuh dalam Arc Raiders mempunyai Kecerdasan Buatan (AI) yang pantas membaca pergerakan, mampu mengepung dari pelbagai arah dan akan terus muncul sekiranya pemain terlalu lama kekal di satu titik.

Disebabkan itu, pemain disaran sentiasa bergerak, mengelakkan berada terlalu lama di zon panas dan peka dengan bunyi serta perubahan visual persekitaran.

Permainan ini mengajar gaya permainan taktikal, bukan pertembungan tanpa perancangan.

Ketika mengutip rampasan, kesilapan paling lazim dilakukan pemain baharu ialah mengambil semua barangan tanpa menilai nilai sebenar.

Ruang simpanan adalah kecil, jadi pemilihan bijak amat penting.

Keutamaan harus diberikan kepada barangan bernilai tinggi seperti alat ubah suai senjata (‘weapon mods’), barangan penyembuhan tahap tinggi dan peluru unik (‘rare ammo’).

Pemain juga digalakkan merancang mengikut jenis misi.

Untuk sesi singkat, ambillah barangan ringan tetapi bernilai tinggi, manakala sesi panjang lebih sesuai untuk mengumpul bahan naik taraf (‘upgrade materials’) dan komponen pembuatan (‘crafting components’).

Perlu juga sentiasa meninggalkan sedikit ruang kosong kerana rampasan bernilai tinggi sering muncul pada penghujung sesi.

Daripada segi kelengkapan pemain, kelengkapan percuma (‘free loadout’) sering disalah anggap sebagai lemah, sedangkan ia sebenarnya sangat membantu ketika pemain masih mempelajari corak musuh dan susunan kawasan.

Kelengkapan percuma ini biasanya menyediakan senjata asas yang stabil, perisai ringan, barangan pemulihan asas serta peluru mencukupi.

Ia pilihan ideal ketika sedang meneroka atau mengumpul komponen awal kerana tidak memberi kerugian besar jika pemain tewas.

Hanya selepas memperoleh alat ubah suai senjata lebih baik, perisai kukuh serta memahami laluan map dengan yakin, barulah kelengkapan tersuai (‘custom loadout’) berbaloi digunakan.

Daripada sudut pemilihan senjata pula, pemain baharu disarankan menggunakan raifal serang (‘assault rifle’) kerana ia stabil dan mudah dikawal.

Senapang penembak jarak sederhana (DMR, ‘designated marksman rifle’) pula sesuai bagi mereka yang lebih selesa menembak daripada jarak sederhana ataupun jauh.

Senapang patah (‘shotgun’) berkesan dalam ruang sempit tetapi berisiko jika digunakan di kawasan terbuka.

Pada peringkat awal, elakkan senjata berat atau mesingan kerana nilai kerosakan tidak setara dengan penggunaan peluru yang tinggi dan kadar lantunan (‘recoil’) yang sukar dikawal.

Menerusi strategi rampasan yang bijak, penataan kelengkapan teratur dan pembangunan aliran kemahiran yang tepat, pemain baharu dapat berkembang lebih pantas dan menikmati permainan tanpa rasa dihukum setiap kali memulakan sesi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top