Permohonan enam kategori DKK bernilai RM15 juta dibuka mulai 16 November

Permohonan enam kategori DKK bernilai RM15 juta dibuka mulai 16 November

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Permohonan Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM15 juta bagi enam kategori di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan dibuka mulai 16 November ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, enam kategori yang ditawarkan meliputi Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka atau Cereka Animasi dan Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME).

Menurutnya, permohonan juga dibuka bagi kategori Dana Co-Pro Program TV Super Telefilem, Dana Co-Pro Mikro Drama Stesen Penyiar atau Platform OTT, Dana Super Telefilem Artis Veteran (STAR) serta Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.

“Dana berjumlah RM15 juta itu membuka peluang kepada bakat baharu, memperluas kerjasama antarabangsa, memberi ruang kepada artis veteran untuk

terus berkarya, dan menggalakkan penghasilan kandungan baharu seperti mikro drama bagi memenuhi keperluan pasaran digital,” katanya pada sidang media sebelum majlis Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026, di sini, malam ini.

Fahmi berkata, penggiat industri boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) di laman sesawang sppik.finas.my mulai tarikh berkenaan.

“Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, garis panduan dan tatacara permohonan akan diumumkan melalui laman sesawang dan platform media sosial rasmi FINAS.

“Penggiat industri yang berkelayakan digalakkan untuk memanfaatkan peluang itu tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai penganjuran ASA edisi ke-37, Fahmi menegaskan acara berprestij itu bukan sekadar majlis penyampaian anugerah semata-mata, sebaliknya manifestasi pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan menyeluruh warga industri penyiaran.

“Bagi pihak kerajaan, Anugerah Seri Angkasa bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, tetapi pengiktirafan terhadap sumbangan seluruh warga industri penyiaran meliputi mereka yang bekerja di depan kamera dan di belakang tabir dalam menyampaikan maklumat, menghasilkan hiburan berkualiti, dan memperkukuh identiti serta ekonomi kreatif Malaysia.

“Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi akan terus memperkukuh ekosistem industri kreatif melalui kemudahan pembiayaan, peluang kepada bakat baharu, dan galakan penghasilan kandungan tempatan yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Malam kemuncak ASA ke-37 menyaksikan pengumuman pemenang bagi baki 30 kategori yang dipertandingkan, selain penyampaian dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa selepas 30 kategori pertama diumumkan pada Majlis Prelude ASA pada 20 Oktober lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top