KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Pengarah Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed dan isterinya untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan yang dihadapi mereka.
Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendengar hujah ringkas pihak-pihak.
“Mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan dan pihak pendakwaan perlu menyenaraikan satu senarai saksi untuk dipanggil memberi keterangan sebelum mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan,” kata hakim itu.
Beliau kemudian menetapkan 20 November ini untuk pengurusan kes bagi pihak pendakwaan mengemukakan senarai saksi selain menetapkan tarikh perbicaraan.
Pada September 2025, Abu Sahid, 75, didakwa atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM100 juta serta penyalahgunaan wang bernilai RM145,550,000.
Isterinya, Puan Sri Noor Azrina Mohd Azmi, 49, pula didakwa atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berupa wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.
Terdahulu, peguam bela, Jasbeer Singh mewakili pasangan itu memohon agar anak guamnya dilepakan tanpa dibebaskan atas alasan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan beberapa dokumen penting berkaitan kes itu, meskipun pertuduhan telah dibuat sejak setahun lalu.
“Jumlah dokumen bukan perkara penting, sebaliknya persoalannya sekarang ialah sama ada isu berkaitan bahan bukti telah diliputi di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah berhubung penyerahan dokumen.
“Pada pandangan saya, arahan yang saya terima adalah untuk memohon mahkamah memberikan DNAA. Pertuduhan tidak sepatutnya dibuat sekiranya siasatan masih berjalan atau belum lengkap,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif berkata, pihak pendakwaan menafikan bahawa siasatan masih belum selesai.
Katanya, hanya terdapat beberapa dokumen yang masih belum diserahkan kepada pihak pembelaan tetapi dokumen utama berkaitan kes telah pun diberikan kepada pembelaan.
“Dokumen-dokumen penting sebenarnya telah pun diserahkan. Cuma dokumen sampingan untuk menyokong dokumen utama sahaja yang masih belum diberikan.
“Saya dengan rendah diri ingin memohon untuk satu tarikh lagi. Namun seperti pandangan saya tadi, pada dasarnya kami juga telah bersedia. Sekiranya mahkamah berniat nak menetapkan tarikh, kami juga sesuai untuk penetapan tarikh bicara,” katanya.
Pada 8 September 2025, Abu Sahid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM300 juta dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM100 juta.
Pada 24 September 2025, Abu Sahid turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menyalahgunakan wang bernilai RM145,550,000 yang dibayar ke satu akaun escrow.
Noor Azrina, pula didakwa atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berupa wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.
Pertuduhan didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 November 2017 mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama. –UTUSAN

