Singapura: Mahkamah Rayuan Singapura pada Jumaat menolak permohonan banduan warga Malaysia yang menunggu hukuman mati, Pannir Selvam Pranthaman, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu prosiding tatatertib susulan aduannya kepada Persatuan Guaman terhadap bekas peguamnya.
Dalam prosiding awal permohonan pasca rayuannya, mahkamah menegaskan bahawa permintaan penangguhan pelaksanaan hukuman itu bergantung kepada prinsip bahawa dasar Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) berhubung penjadualan hukuman mati mesti dilaksanakan secara sama rata kepada semua.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon dalam penghakiman Jumaat itu menyatakan mahkamah telah meneliti sama ada MHA telah mengubah dasarnya secara tidak sah, dan sekiranya benar, sama ada perbezaan dasar MHA antara prosiding yang dibawa oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan adalah tidak sah.
Mahkamah menegaskan bahawa kerajaan berhak mengubah dasarnya kecuali perubahan itu dapat dibuktikan tidak sah atas alasan undang-undang tertentu.
“Oleh itu, dalam kes ini, masih menjadi tanggungjawab pemohon untuk membuktikan ketidaksahan perubahan dasar yang didakwa oleh MHA. Pada pandangan kami, beliau gagal membuktikannya,” menurut penghakiman itu.
Selain itu, mahkamah menyatakan walaupun jika MHA telah mengubah dasarnya mengenai penjadualan hukuman mati, pemohon gagal mengenal pasti sebarang asas untuk mempertikaikan kesahan perubahan itu.
Sementara itu, mahkamah turut menolak hujahan Pannir Selvam bahawa perbezaan dasar MHA mengakibatkan layanan berbeza terhadap banduan yang menunggu hukuman mati (PACPs) bergantung sama ada keterangan mereka diperlukan dalam prosiding yang dibawa oleh kerajaan atau bukan kerajaan.
“Pertama sekali, kami tegaskan bahawa PACPs adalah individu yang telah dijatuhi hukuman mati mengikut undang-undang dan sabitan serta hukuman mereka telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan selepas rayuan atau semakan,” jelas penghakiman itu.
Mahkamah membuat kesimpulan bahawa perbezaan dasar MHA antara prosiding yang dibawa oleh kerajaan dan bukan kerajaan adalah tidak menyalahi undang-undang, tidak melanggar Perkara 12(1) Perlembagaan, dan juga tidak bersifat tidak munasabah atau tidak rasional.
Mahkamah turut menyatakan bahawa alasan kedua dalam permohonan pasca rayuan kes hukuman mati (permohonan PACC) Pannir Selvam yang tertangguh berhubung prosiding yang dibawa oleh empat banduan lain kini dianggap tidak relevan selepas mahkamah menolak kes berkenaan.
Pannir Selvam disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2017 kerana mengimport tidak kurang daripada 51.84 gram diamorfin ke Singapura dan dijatuhi hukuman mati mandatori.
Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 9 Februari 2018, manakala petisyen pengampunannya kepada Presiden Singapura juga ditolak.
Pannir Selvam pernah diberikan penangguhan hukuman sebanyak dua kali. Pertama pada Mei 2019, atas alasan beliau berhasrat mencabar penolakan petisyen pengampunannya dan keputusan Pendakwa Raya untuk tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepadanya.
Penangguhan kedua diberikan pada Februari 2025 sementara menunggu keputusan permohonan PACC ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd