ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Permulaan terpuji dipamerkan kontinjen Paralimpik negara di Paris apabila ada keputusan bermula dengan langkah kanan dan begitu juga sebaliknya sebaik tirai temasya itu dibuka secara rasmi, awal pagi tadi.
Ia bermula dengan penyandang pingat emas perseorangan lelaki kategori SU5, Cheah Liek Hou yang diletakkan selaku pilihan utama, mengatasi Bartlomiej Mroz dari Poland, dengan kemenangan straight set 21-10, 21-6 untuk mengetuai Kumpulan A.
Sementara itu, saingan kumpulan, menyaksikan seorang lagi wakil negara, Muhammad Fareez Anuar mencipta kejutan ke atas pilihan kedua kejohanan dari Taiwan, Fang Jen Yu.
Pemain negara itu mencatat kemenangan 21-14, 21-18 ke atas Jen Yu dan hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk melangkah ke separuh akhir.
Bagaimanapun, ia tidak berjaya diikuti perseorangan lelaki SL4, Amin Burhanuddin yang kalah kepada Sukant Kadam dari India, 21-17, 21-15, 22-20 dalam aksi Kumpulan B, begitu juga dalam aksi beregu lelaki WH, membabitkan Noor Azwan Noorlan-Ikhwan Ramli apabila kalah 21-17, 13-21, 16-21 kepada wakil Jepun, Daiki Kajiwara-Hiroshi Murayama.
Perenang negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli memulakan kempen dengan agak goyah, selepas menduduki tempat kesembilan secara keseluruhan dalam saringan 200 meter (m) gaya bebas lelaki S5.
Hanya lapan perenang terbaik dari keseluruhan dua saringan berlangsung di Paris La Defense Arena, di sini, mara ke peringkat akhir.
Bagaimanapun, Syaiful diletakkan dalam senarai simpanan bagi acara final bersama perenang ke-10 terbaik dari Thailand, Phuchit Aingchaiyaphum.
Atlet berusia 29 tahun itu merekodkan 2 minit 52.67 saat (s) untuk menamatkan cabaran saringan pertama di tangga kelima.
Bagi acara boccia, Noor Askuzaimey menumpaskan Nataliia Konenko dari Ukraine, 8-6 untuk aksi Kumpulan B individu wanita BC4, namun Lee Chee Hoong pula tunduk 2-11 kepada Bintang Herlangga bagi saingan Kumpulan F individu lelaki BC2.
Hasrat jaguh berbasikal trek para negara, Yusof Hafizi Shaharuddin mara sekurang-kurangnya di penentuan gangsa tidak kesampaian apabila menduduki tempat kelima daripada tujuh pelumba secara keseluruhan dengan catatan 3 minit 55.254s bagi acara 3,000 meter (m) kejar-mengejar individu lelaki C1 di Velodrom Saint Quentin En Yvelines.
Dalam saingan pusingan ranking memanah recurve lelaki, S Suresh menduduki ranking ke-12 daripada 30 pemanah selepas mengumpul 625 mata dan bakal berdepan juara dunia 2015 dari Amerika Syarikat (AS), Eric Christopher Bennett di pusingan pertama, Rabu depan.
Pemanah compound para wanita negara, Nur Jannaton Abdul Jalil menduduki ranking ke-24 selepas mengumpul 646 mata dan akan menentang Sari Adhana dari India di pusingan pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




