Permulaan sempurna Christian-Aidan 

Permulaan sempurna Christian-Aidan 

PETALING JAYA: Kegagalan membawa pulang pingat emas di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan pengakhiran buat gandingan padel negara, Christian Didier Chin dan Aidan Yunus.

Sebaliknya, kejayaan meraih pingat perak menjadi titik permulaan kepada pasangan itu untuk memburu pencapaian lebih tinggi, terutama pada temasya Sukan SEA 2027 di Malaysia nanti.

Christian-Aidan terpaksa berpuas hati dengan perak selepas tewas kepada pilihan utama dari Qatar, Mashari Naif dan Rashed Naif, 3-6, 1-6 dalam tempoh 55 minit pada aksi final, kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Christian, pencapaian itu umpama impian yang menjadi kenyataan, selain menyifatkan kejayaan itu sebagai permulaan untuk mereka memburu pencapaian lebih tinggi nanti.

“Saya cakap kepada Aidan, ini bukan pengakhiran, sebaliknya baru permulaan. Kami tidak sabar untuk menghadapi Sukan SEA tahun depan di Malaysia dan mahu pergi lebih jauh,” katanya.

Aidan pula mengakui mereka tidak menyangka mampu melangkah ke final, namun berharap pencapaian itu dapat membantu mengembangkan sukan padel di Malaysia.

“Saya tidak menyangka kami boleh berada pada kedudukan ini. Apa yang kami lakukan untuk padel Malaysia diharap akan memberikan kesan untuk tempoh yang lama. Kami mahu melihat sukan ini terus berkembang,” katanya.

Dia turut menghargai perjalanan bersama Christian, yang bermula ketika mereka masih aktif dalam sukan masing-masing sebelum berganding dalam padel.

Untuk rekod, Christian sebelum ini merupakan bekas pemain tenis kebangsaan, bergandingan dengan Aidan yang pernah mewakili negara dalam sukan skuasy.

“Saya amat bersyukur dengan perjalanan yang kami lalui, bukan hanya sepanjang empat bulan berlatih bersama, tetapi sejak kami mula mengenali satu sama lain ketika dia masih bermain tenis dan saya pula bermain skuasy.

“Saya sangat menghargai pengalaman ini dan peluang beraksi bersama Christian,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top