Penyanyi berbakat, Nadeera, mengimbas kembali detik mencabar ketika menyertai pertandingan nyanyian sulungnya, Vokal Bukan Sekadar Rupa pada tahun 2012 pengalaman yang menurutnya kekal segar dalam ingatan meskipun lebih sedekad telah berlalu.
Berkongsi kisah tersebut menerusi podcast Kita-Kita Aje! yang dikendalikan pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi, Nadeera mengakui insiden paling diingatinya adalah ketika dimarahi juri dan tenaga pengajar program itu, Mas Idayu.
“Pertandingan pertama saya sertai adalah Vokal Bukan Sekadar Rupa. Waktu tu, saya pernah kena marah dengan Mas Idayu. Dia ambil buku lirik saya dan campak sebab katanya nyanyian saya tiada ‘improvise’,” katanya.
Lebih mengejutkan, Mas Idayu turut menghalaunya keluar dari bilik latihan.
“Dia suruh saya keluar dan cari sendiri idea untuk improvisasi. Dia cakap, ‘Kau keluar sekarang!’,” katanya.
Menurut Nadeera, ketika itu dia masih bergelut dengan kebiasaan meniru gaya penyanyi asal dalam persembahan, tanpa sebarang sentuhan peribadi.
“Saya memang ada tabiat suka ikut gaya penyanyi asal. Dulu memang saya buat macam tu,” jelasnya.
Akibat tergamam dengan teguran lantang Mas Idayu, Nadeera mengakui dirinya hilang arah sehingga terpaksa mendapatkan bantuan peserta lain yang dianggap seperti abang dan kakak sepanjang pertandingan.
“Saya memang tak tahu nak buat apa. Jadi, saya minta tolong peserta lain yang lebih berpengalaman. Selepas mereka bantu, barulah saya dapat buat sedikit ‘improvise’,” katanya.
Sekadar info, perjalanan Nadeera dalam pertandingan realiti itu berakhir di peringkat separuh akhir, namun pengalaman tersebut menjadi titik penting dalam pembentukan karier seninya hari ini.
Sumber: YouTube Kita-Kita Aje!