am@hmetro.com.my
Subang Jaya: Walaupun sering diserbu pihak berkuasa tempatan (PBT), peniaga warga asing seolah-olah tidak serik apabila masih berniaga di tepi jalan di Lagoon Perdana, di sini.
Tinjauan Harian Metro baru-baru ini mendapati terdapat beberapa peniaga warga asing menjual barang basah seperti daging, ayam, ikan dan sayur.
Mereka berniaga menggunakan lori bermula sekitar jam 6.30 pagi hingga 8 pagi dan kemudiannya akan disambung semula dari jam 5 petang hingga 7 malam.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lagoon Perdana, Mohd Fairuz Ahmad Jahari berkata, aktiviti perniagaan warga asing itu sudah berlarutan lebih dua tahun dan banyak aduan dibuat kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
“MBSJ pernah saman dan sita barang perniagaan mereka sebelum ini, termasuk pasang pita kuning di lokasi terbabit.
“Bagaimanapun, warga asing ini seakan tidak makan saman, malah berani berniaga di lokasi yang dipasang pita terbabit.
“Kebanyakan pembeli pula terdiri daripada warga asing kerana harga yang ditawarkan murah, malah mereka boleh berhutang,” katanya.
Peniaga Azhar Yahya, 49, berkata kehadiran peniaga warga asing itu sudah menjadi pemandangan biasa sejak sekian lama, malah mereka seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang.
Menurutnya, aktiviti mereka menyebabkan kesesakan lalu lintas ekoran peniaga warga asing yang parkir kenderaan mereka sesuka hati di bahu jalan, sekaligus mengganggu kelancaran trafik.
“Jalan yang asalnya ada dua lorong, tinggal hanya satu lorong menyebabkan penduduk terpaksa bersesak setiap kali hendak pergi dan pulang dari tempat kerja setiap hari.
“Warga asing ini berniaga pagi, lepas itu hilang sekejap tengah hari. Mereka akan datang berniaga semula pada petang sehingga malam. “Kawasan itu memang jadi sesak bila mereka berniaga, tapi satu yang saya perasan, tempat itu lepas mereka balik memang bersih,” katanya.
Penduduk, Rozana Yahyaa, 40, berkata walaupun tidak ada sampah sarap ditinggalkan mereka, dia tetap rasa tidak selesa kerana ia adalah kawasan awam.
“Pihak berkuasa diharap tidak hanya mengambil tindakan bersifat sementara seperti rampasan dan meletak pita larangan, sebaliknya mencari penyelesaian menyeluruh daripada terus bermaharajalela,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd