Pernah menyamar pramugari, Khairun Nisya kini jalani kursus kru kabin

Pernah menyamar pramugari, Khairun Nisya kini jalani kursus kru kabin

Jakarta: Niat hati mahu membahagiakan ibu bapa, namun cara yang dipilih memakan diri sehingga tular ke seluruh dunia.

Itu kisah Khairun Nisya, 23, gadis yang sebelum ini menggemparkan industri penerbangan selepas dikesan menyamar sebagai pramugari Batik Air Indonesia semata-mata kerana gagal temu duga.

Bagaimanapun, ‘episod gelap’ itu kini bertukar menjadi sinar harapan apabila dia ditawarkan pendidikan pramugari secara percuma oleh Aeronef Academy, sebuah institusi latihan kru kabin terkemuka di Indonesia.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran rasmi akaun media sosial @aeronefacademy.official di platform Threads yang turut menyampaikan kata-kata motivasi buat gadis terbabit.

“Mungkin Kak Nisa sedang bersedih, namun perlu diketahui bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran segalanya sebaliknya permulaan kepada kisah baharu yang lebih hebat,” tulis Aeronef Academy.

Dalam hantaran sama, akademi berkenaan menawarkan kursus percuma sebagai sokongan supaya Nisya berpeluang merealisasikan cita-citanya.

Katanya, pihak akademi memahami tanggungjawab seorang anak yang berbakti adalah untuk membanggakan ibu dan bapa mereka.

Aeronef Indonesia secara rasmi memanggil Nisya untuk mengikuti Pendidikan Pramugari secara percuma di institusi berkenaan.

Usaha itu bertujuan membantu Nisya mewujudkan impian menyarung seragam pramugari yang sebenar dengan bekalan ilmu serta pensijilan rasmi.

Sementara itu, dakwaan yang mengatakan Nisya ditawarkan pekerjaan oleh syarikat penerbangan Garuda Airlines adalah berita palsu.

Terdahulu, Nisya mengakui terpaksa memakai seragam Batik Air untuk memperlihatkan dia sebagai anak kapal syarikat berkenaan kepada ibu bapanya selepas gagal temu duga.

Tindakannya memakai seragam kru kabin dalam penerbangan dari Palembang ke Jakarta baru-baru ini terbongkar selepas dia gagal memberi jawapan konsisten selain corak skirt yang mencurigakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top