Pelakon Ozlynn Wati berkongsi kisah perjalanan hidupnya bersama suami, Johan Raja Lawak, ketika terpaksa melalui fasa-fasa sukar pada awal perkahwinan mereka.
Terima nafkah RM1
Screenshot
Menerusi hantaran di Threads, Ozlynn membalas ciapan seorang netizen berkenaan maruah lelaki akan tercabar bila kaum wanita mula mengungkit dan mendedahkan suaminya pernah berdepan kesempitan hidup sehingga ada kalanya mereka tidak mempunyai makanan.
Tambahnya lagi, pada ketika itu Ozlynn mempunyai pekerjaan tetap dan tidak kisah untuk cuba membantu suaminya bagi meringankan beban keluarga.

“Dulu hidup dengan suami, dia kais pagi makan pagi, malam kadang-kadang tiada apa untuk dimakan. Tapi sebab kerja saya bagus, dapat bantu dia,” ciapannya, hari ini.
Menurut Ozlynn, antara detik paling menyentuh hati adalah apabila Johan hanya mampu memberikan nafkah sebanyak RM1 kepadanya.
“Sampai pernah dia bagi nafkah pada saya RM1 saja. Saya ambil duit itu dan cakap saya terima sambil senyum.
“Bukan sebab jumlah nafkah, tapi cara dia ‘rendahkan’ diri dia depan saya, dan saya nampak usaha dia cari rezeki. Saya terus masuk bilik air dan menangis sampai sakit tekak,” kongsinya.
Ibu kepada enam cahaya mata itu menceritakan, Johan turut memintanya agar mendoakan supaya Allah mempermudahkan urusan mencari rezeki. Namun di sebalik ketabahan yang ditunjukkan di hadapan suami, Ozlynn mengakui dia menangis sendirian kerana tersentuh melihat usaha suaminya.
Ozlynn berkata, dia tidak pernah putus berdoa agar suaminya diberikan rezeki yang lebih baik. Kini, dia bersyukur melihat kehidupan mereka yang semakin stabil dan senang.

“Alhamdulillah sekarang dia senang, dan dia tak pernah lupakan saya,” tambahnya lagi.
Perkongsian tersebut menyentuh hati ramai, selain menjadi bukti bahawa kesusahan yang dilalui bersama mampu menguatkan lagi hubungan suami isteri.
Artikel lain: Johan mahu anak-anak hormat isteri – “Kalau mak panggil tak menyahut daripada belakang aku sepak”
Terdahulu, Johan menegaskan agar anak-anak menghormati isterinya, Ozlynn Waty sebagai seorang ibu kerana sudah berkorban nyawa untuk melahirkan.
Menurutnya, anak-anak tidak dimanjakan dengan harta malah diminta untuk mencari sumber kekayaan sendiri.
Namun, dia dan isteri sangat menitik beratkan tiga perkara iaitu pendidikan, ilmu dan pelajaran untuk bekalan kesemua anak-anak di masa akan datang tanpa mengharapkan warisan daripada orang tua.
Sumber: Threads jozlynnhanania




