am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Pemilik sebuah pusat rawatan homeopati hanya mampu melihat premis perniagaan yang diusahakannya sejak hampir 30 tahun lalu musnah dalam kebakaran di pekan Batu Enam, di sini, malam tadi.
Selain pusat rawatan homeopati itu, turut hangus dalam kejadian 11.30 malam itu, dua premis perniagaan lain iaitu kedai dobi layan diri dan sebuah kedai makan, serta sebuah rumah penduduk.
Pemilik pusat homeopati, Lukman Mamat, 68, dari Kampung Losong Haji Mat Shafie di sini berkata, ketika kejadian, dia berada di satu majlis meraikan rakan-rakan dari luar Terengganu di kampung berkenaan, sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon anak yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
“Saya terus bergegas ke sini dan mendapati pusat rawatan homeopati yang diusahakan sejak 1994 hangus keseluruhannya.
“Selain dijadikan sebagai pusat rawatan homeopati, saya juga ada menjual kitab dan pelbagai buku agama termasuk buku berkaitan rawatan homeopati. Semuanya hangus dan tidak ada apa yang dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, operasi memadamkan kebakaran dilakukan dengan kekuatan 28 anggota termasuk pegawai dari BBP Kuala Nerus, BBP Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota serta Sukarelawan Bomba Sri Nerus sebaik menerima panggilan 11.37 malam.
“Kebakaran membabitkan tiga premis perniagaan iaitu kedai makan, dobi layan diri dan kedai menjual ubat serta sebuah rumah penduduk yang musnah 50 peratus.
“Kedai dobi dan kedai ubat (homeopati) masing-masing terbakar 70 peratus dan kedai makan sebanyak 50 peratus,” katanya.
Menurut Azmi, bangunan separuh kekal yang bahagian atas diperbuat daripada kayu menyebabkan kebakaran berlaku dengan cepat dan operasi mengambil masa kira-kira 45 minit sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya.
“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd