Perniagaan penduduk terjejas susulan jalan tutup

Perniagaan penduduk terjejas susulan jalan tutup

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Subang Jaya: Penutupan laluan masuk ke Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights di sini, sejak dua minggu lalu menyebabkan banyak perniagaan dalam kawasan terbabit terjejas.

Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Fauzi Jaafar, 58, berkata, dia menyewa tanah dan membangunkan lima premis di kawasan berhampiran laluan yang ditutup pihak berkuasa sejak dua minggu lalu.

“Saya sewakan lima premis iaitu kedai makan, kedai tayar, kedai aksesori, pasar mini dan bengkel yang berada dalam radius satu kilometer dari lokasi letupan saluran gas terbabit.

“Tiada premis saya yang terjejas secara langsung (secara fizikal), namun kesemuanya tidak beroperasi memandangkan laluan masuk ke kampung ini ditutup oleh pihak berkuasa.

“Penutupan jalan menyebabkan orang luar tidak boleh masuk kecuali penduduk kampung yang mempunyai pas. Keadaan itu menyebabkan penyewa menutup premis mereka kerana tiada pelanggan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beliau mengalami kerugian apabila dua daripada lima penyewa premis terbabit menarik diri.

“Setiap premis itu disewa kira-kira RM2,000. Ada penyewa sudah tarik diri kerana tidak mahu tanggung kerugian memandangkan perniagaan sudah ditutup dua minggu.

“Kami tidak tahu sampai bila laluan ini akan ditutup dan tidak dimaklumkan apa-apa mengenainya. Kami faham prosedur pihak berkuasa, namun harap ada jalan penyelesaian bagi peniaga yang turut terjejas,” katanya.

Sementara itu, pemilik sebuah bengkel di Kampung Kuala Sungai Baru, Roslan Jaafar, 55, berkata, pendapatannya terjejas apabila bengkel miliknya tidak dibuka sejak dua minggu lalu.

“Jika dilihat dari segi kerosakan, bengkel saya hanya terjejas sedikit apabila ada bumbung yang cair tetapi masih boleh beroperasi.

“Cuma sekarang bengkel terpaksa ditutup kerana tiada pelanggan yang datang memandangkan laluan menuju ke sini ditutup. Keadaan di sekitar kawasan ini juga sunyi seperti ‘pekan mati’,” katanya yang memaklumkan tiada kenderaan pelanggan terjejas dalam kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya ada mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya penutupan itu hanya membabitkan laluan ke lokasi letupan.

“Laluan yang ditutup ini pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi letupan. Mungkin pihak berkuasa boleh tutup di laluan simpang ke lokasi letupan berbanding mula tutup dari kawasan ini.

“Kami juga tidak dimaklumkan apa lagi kerja-kerja baik pulih yang dilakukan di kawasan ini dan sehingga bila penutupan laluan dibuat. Kami harap ada jalan penyelesaian untuk golongan peniaga seperti kami yang terjejas secara tidak langsung dalam kejadian ini,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di lokasi itu mendapati laluan ke kampung berkenaan masih ditutup dengan beberapa anggota polis melakukan kawalan keselamatan.

Bagaimanapun, terdapat pergerakan keluar dan masuk beberapa kenderaan penduduk yang mempunyai pas dilihat di laluan yang ditutup berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top