Pernikahan Diraja: Jalan Istana, Klang, ditutup 8 pagi hingga 10 pagi Khamis ini

Pernikahan Diraja: Jalan Istana, Klang, ditutup 8 pagi hingga 10 pagi Khamis ini

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Jalan Istana di Klang akan ditutup antara 8 pagi hingga 10 pagi pada Khamis ini, sempena istiadat pernikahan Diraja, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz, di Masjid Istana Diraja yang terletak di Istana Alam Shah, Klang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertanggungjawabkan untuk menjaga keselamatan, ketenteraman awam serta kawalan lalu lintas sepanjang majlis itu.

“Bagi memberi laluan kepada Perarakan Diraja yang bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz menuju ke Istana Alam Shah, Jalan Istana ditutup kepada semua kenderaan bermula 8 pagi hingga 10 pagi pada 2 Oktober itu.

“Penutupan ini bagi memberi ruang persediaan dan kelancaran pergerakan perarakan pengantin Diraja.

“Jalan-jalan lain di sekitar Klang tidak ditutup dan akan dikawal sepenuhnya oleh pasukan polis trafik,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ramli berkata, bagi daerah-daerah lain di Selangor yang tidak terbabit dengan majlis berkenaan, tiada penutupan jalan dilaksanakan.

“Semua aliran trafik di kawasan berkenaan berjalan seperti biasa. Orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai sebarang notis atau maklumat yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab selain daripada makluman rasmi daripada PDRM.

“Sebarang pertanyaan lanjut mengenai lalu lintas berhubung majlis ini boleh diperoleh dengan menghubungi bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999.

“PDRM merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama yang diberikan demi memastikan kelancaran majlis ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top