Perodua Alza terbalik di Jambatan Pulau Pinang, pemandu wanita cedera – Utusan Digital

BUTTERWORTH: Seorang wanita berusia 21 tahun cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dipandunya terbalik di Kilometer 4.6 Jambatan Pulau Pinang arah Perai dekat sini petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu dipercayai berlaku apabila MPV berkenaan terbabas sebelum terbalik.

“Terdapat seorang mangsa perempuan berusia 21 tahun yang cedera ringan dan mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dari kenderaannya.

“Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dia dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Kemalangan itu turut menyebabkan kedua-dua arah Jambatan Pulau Pinang sesak lebih sejam selepas ditutup seketika bagi kerja-kerja menyelamat.

Sementara itu jurucakap tersebut berkata, operasi yang dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai tersebut tamat  pukul 7.13 malam. – UTUSAN ONLINE