am@hmetro.com.my
Seremban: Sistem perolehan terutama membabitkan ketenteraan perlu lebih telus bagi meninggalkan kaedah dan amalan lama yang membawa kepada unsur rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia juga perlu mengambil kira kerjasama sepenuhnya pegawai tertinggi pasukan keselamatan negara serta pakar teknikalnya supaya mereka dapat meninggalkan cara lama yang merosakkan.
Beliau berkata, negara juga tidak mempunyai sejarah perolehan yang sangat membanggakan, bukan saja dalam bidang ketenteraan malah dalam bidang lain.
Katanya, ada kalangan, perolehan yang dibuat oleh kerajaan menjadi satu ruang dan kesempatan bagi individu tertentu menjadi ejen atau syarikat mengambil dan mengaut keuntungan berlebihan, sekaligus memunggah kekayaan.
“Kita ada pasukan tentera, tugas dia pertahankan negara. Kita ada lubuk-lubuk di situ yang sebenarnya hancurkan kekuatan kita kerana mengaut keuntungan dari usaha perolehan.
“Paling mutakhir kita dengar mengenai badan risikan, walaupun masih terkawal, menteri dan Panglima Angkatan Tentera beri jaminan, saya terima baik tetapi satu negara seperti Malaysia tidak boleh mudah memaafkan badan risikan tentera terbabit dalam usaha penyeludupan dan pengkhianatan.
“Saya tidak boleh terima orang yang dilatih bekerja yang penuh semangat, kegigihan dan pengorbanan pertahankan negara boleh melakukan kecurangan seperti ini,” katanya ketika fasiliti pengeluaran baharu Mildef Technologies Sdn Bhd (Mildef) di Sendayan, dekat sini.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengarah Urusan Mildef, Datuk Seri Mohd Nizam Mohd Kasa.
Perdana Menteri berkata, insiden membabitkan perolehan aset ketenteraan seperti kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjadi bahan lucu selama bertahun-tahun bagi negara.
Beliau berkata, walaupun ia tidak bermakna mereka yang bukan dalam bidang ketenteraan boleh bersikap sedemikian, namun sektor pertahanan negara seharusnya mencerminkan contoh yang baik dan boleh dibanggakan.
Justeru, Anwar berkata, semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain kepemimpinan tentera sendiri tidak boleh mengambil mudah dan bersikap sambil lewa serta menganggap perbuatan rasuah boleh dipadamkan dengan mudah.
Pada masa sama, Perdana Menteri juga mengingatkan negara tidak boleh terus menerus bergantung kepada aset ketenteraan yang dibina negara luar dalam usaha melengkapkan kesiapsagaan keselamatan negara.
Anwar berkata, ketika negara perlu berbelanja besar untuk memastikan tahap kesiapsagaan keselamatan dan pertahan negara lebih mantap dan kukuh, perlu juga ada usaha membina kekuatan dalaman melalui penyelidikan, pengeluaran oleh sektor swasta.
Katanya, ia boleh dilaksanakan dengan sokongan penuh oleh Kementerian Pertahanan dan semua kementerian lain termasuk membabitkan penyelidikan di universiti, supaya Malaysia mampu membina kekuatan industri pertahanan tempatan.
“Tentunya tidak boleh menjangkau satu bidang yang terlalu luas, tetapi ada beberapa bidang khusus yang boleh kita bina, kemahiran dan keterampilan kita.
“Kita ada umpamanya Mildef, dari segi kereta perisai, dan tentunya boleh juga kita atur dalam menyelaraskan beberapa keperluan untuk syarikat-syarikat tempatan, khususnya Bumiputera, dalam soal kereta perisai, supaya tidak ada pertindihan, dan masing-masing boleh berjaya dalam bidang tertentu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd