am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiga individu sudah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut berhubung perolehan projek tentera darat, semalam.
Sumber berkata, SPRM turut mempergiatkan siasatan yang dimulakan, kelmarin dengan membuat semakan akaun disyaki terbabit rasuah perolehan.
“Semalam SPRM sudah memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan dan siasatan awal mendapati bermula 2023 sehingga 2025 perolehan Tentera Darat melebihi RM500,000 adalah sebanyak 158 projek, manakala bagi perolehan dibawah RM500,000 pula jumlah keseluruhan projek adalah 4,521.
“Semakan awal terhadap kesemua projek berkenaan mendapati terdapat beberapa syarikat yang kerap memperoleh projek dengan nilai yang tinggi dan ia agak meragukan,” katanya di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, semakan terperinci masih belum dilakukan mengenai profiling syarikat-syarikat yang menerima kontrak itu.
SPRM pada Rabu sudah mengambil aduan dan merakam keterangan aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard mengenai perincian maklumat yang beliau perolehi.
Aktivis itu hadir untuk menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira pukul 12 tenghari hari.
Pada Selasa, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan tumpuan terarah kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau menegaskan semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional berasaskan fakta serta bukti selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu media melaporkan, Chegubard membuat laporan polis terhadap seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan pengubahan wang haram.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, 22 Disember laludengan Chegubard turut mendakwa memiliki laporan forensik kewangan membabitkan akaun peribadi individu itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




