Paris: Muzium Louvre masih ditutup semalam selepas berlaku rompakan berani membabitkan ‘permata mahkota’ Perancis yang tidak ternilai, lapor BBC.
Dalam kejadian pada waktu siang itu, sekumpulan perompak bersenjatakan alat pemotong elektrik menceroboh masuk ke muzium berkenaan sebelum melarikan lapan barang kemas berharga dengan menaiki skuter.
Kumpulan empat suspek terbabit tiba 9.30 pagi dan menggunakan lif mekanikal yang dipasang pada kenderaan untuk memasuki Galeri Apollo melalui balkoni berhampiran Sungai Seine.
Dua daripada mereka memotong tingkap menggunakan alat pemotong elektrik sebelum mengugut pengawal keselamatan dan memecahkan dua bekas pameran yang menempatkan barang kemas diraja.
Dalam pada itu, polis Perancis memaklumkan kumpulan itu hanya berada di dalam muzium selama empat minit dan melarikan diri pada 9.38 pagi.
Menurut laporan awal, satu daripada tiga bilik di kawasan yang diceroboh tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Antara barang kemas yang dicuri ialah tiara dan kerongsang milik Maharani Eugenie, rantai dan anting-anting zamrud milik Maharani Marie Louise serta set nilam milik Ratu Marie-Amelie dan Ratu Hortense.
Semua barangan itu berasal dari abad ke-19 dan pernah dimiliki golongan diraja serta pemerintah empayar Perancis.
Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Rachida Dati berkata, rakaman kamera menunjukkan perompak bertopeng itu masuk dengan tenang dan memecahkan bekas pameran sebelum melarikan diri.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun mahkota milik Maharani Eugenie ditemukan rosak, di laluan digunakan penjenayah itu untuk melarikan diri.
Pihak berkuasa percaya rompakan itu dilakukan atas arahan sebuah organisasi jenayah dan siasatan kini dijalankan oleh kira-kira 60 pegawai penyiasat.
Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez, menyifatkan permata yang dicuri itu sebagai ‘tidak ternilai’ dan ‘mempunyai nilai warisan yang luar biasa’.
Bagi pakar pemulihan seni, Chris Marinello berkata, barang kemas berkenaan berkemungkinan akan dipecahkan, dicairkan atau dipotong semula untuk menghapuskan bukti jenayah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



