Perompak bank warga Kanada dipenjara di Singapura

Perompak bank warga Kanada dipenjara di Singapura

SINGAPURA: Lelaki warga Kanada yang merompak bank di negara ini dipenjara lima tahun, tetapi terlepas hukuman sebatan susulan perjanjian membenarkan dia diekstradisi.

David James Roach, 31, yang merompak cawangan Bank Standard Chartered pada 2016, diekstradisi ke Singapura dari Britain, tahun lalu selepas republik itu memberikan jaminan dia tidak akan disebat.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan merompak bank serta pengubahan wang haram dengan membawa wang yang dirompak ke luar negara.

Mahkamah semalam, menjatuhkan hukuman penjara dan enam sebatan, hukuman mandatori di negara itu kerana merompak.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Singapura dan Pejabat Peguam Negara, berkata mereka berusaha melalui prosedur diperlukan bagi memenuhi jaminan diberikan kepada kerajaan United Kingdom (UK) supaya Roach tidak disebat.

Roach merompak Sg$30,000 (RM92,549) selepas menunjukkan nota ugutan. Kejadian rompakan jarang berlaku di republik yang merekodkan antara negara dengan kadar jenayah terendah di dunia.

Dia melarikan diri ke Bangkok, lokasi dia dipenjara atas tuduhan membawa wang dicuri ke Thailand, tetapi pihak berkuasa menolak untuk menghantarnya ke Singapura kerana negara itu tidak memiliki perjanjian ekstradisi.

Selepas dibebaskan, dia ditahan di Lapangan Terbang Heathrow London ketika dalam perjalanan ke Kanada, dan Singapura meminta dia dihantar pulang ke republik itu.

Singapura dan Britain mempunyai perjanjian ekstradisi, tetapi London hanya akan mengusir Roach jika republik itu bersetuju tidak akan mengenakan hukuman sebatan.

Sebatan rotan, warisan pemerintahan kolonial Inggeris, adalah hukuman biasa di Singapura.

Bagaimanapun, Britain menghapuskan sebatan bagi penjenayah beberapa dekad lalu, dan enggan mengekstradisi sesiapa pun ke negara yang menggunakan hukuman itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top