Perpecahan: Luka lama dari dalam

Perpecahan: Luka lama dari dalam

SEJARAH umat Islam memperlihatkan satu pola yang jelas dan berulang iaitu umat ini mencapai kegemilangan apabila bersatu serta mengalami kemerosotan apabila terjerumus ke dalam perpecahan.

Namun demikian, dalam wacana semasa, perpecahan umat Islam sering dikaitkan secara hampir mutlak dengan konspirasi dan tekanan musuh luar.

Walaupun faktor luaran sememangnya wujud dan tidak boleh dinafikan, hakikat sejarah menunjukkan bahawa akar sebenar perpecahan umat Islam berpunca daripada kelemahan dalaman yang dibiarkan berlarutan tanpa pembaikan yang tuntas.

Musuh-musuh Islam tidak mencipta perpecahan tersebut dari awal. Sebaliknya, mereka hanya memanfaatkan retakan yang telah lama wujud dalam tubuh umat.

Apabila nilai persaudaraan semakin rapuh dan prinsip agama diketepikan demi kepentingan tertentu, musuh hanya perlu meniup sedikit api untuk memarakkannya.

Malangnya, umat Islam sering lebih cenderung menuding jari ke arah ancaman luar berbanding melakukan muhasabah mendalam terhadap sikap dan tindakan sendiri yang menjadi pencetus utama bibit-bibit perpecahan.

Kesatuan umat naungan Rasulullah SAW

Zaman Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik bagaimana kesatuan umat dapat dibina atas asas akidah murni dan akhlak yang luhur.

Masyarakat Islam pada ketika itu terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu Arab dan bukan Arab; kaya dan miskin; bekas hamba dan bangsawan, namun segala perbezaan disatukan di bawah satu asas kukuh iaitu kalimah tauhid.

Ikatan ukhuwah imaniyah yang diasaskan Rasulullah SAW mengatasi hubungan darah dan kepentingan duniawi.

Baginda bukan sekadar menyatukan umat daripada sudut spiritual, malah membina sistem sosial dan politik berteraskan keadilan, musyawarah dan kepatuhan kepada wahyu.

Setiap perselisihan dirujuk kepada al-Quran dan sunnah, serta diselesaikan melalui kepimpinan Baginda yang berhikmah sekali gus menghalang perpecahan daripada berakar dalam masyarakat.

Rasulullah SAW mengumpamakan orang beriman seperti satu tubuh, apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasai penderitaannya.

AMBIL masa yang lama untuk menyatukan umat, namun hanya sekelip mata untuk menjatuhkannya. Foto Canva

AMBIL masa yang lama untuk menyatukan umat, namun hanya sekelip mata untuk menjatuhkannya. Foto Canva

Inilah asas kesatuan yang melahirkan masyarakat Islam yang kukuh, berdisiplin dan disegani serta mampu menghadapi cabaran luaran tanpa goyah dari dalam.

Fitnah al-Kubra: Permulaan luka sejarah

Namun selepas kewafatan Rasulullah SAW, umat Islam mula berhadapan dengan ujian besar iaitu pada zaman Khulafa ar-Rashidin, khususnya ketika pemerintahan Uthman Ibnu ‘Affan dan Ali RA.

Ia menyaksikan tercetusnya konflik dalaman yang dikenali sebagai Fitnah al-Kubra. Fitnah ini bermula dengan pembunuhan Uthman dan disusuli dengan siri konflik yang lebih luas.

Perpecahan ini tidak berpunca daripada serangan kuasa besar luar, sebaliknya merupakan hasil hasutan dalaman, sentimen puak serta perebutan pengaruh politik.

Fitnah yang disebarkan oleh golongan munafik, ditambah pula dengan kegagalan sebahagian umat mengurus perbezaan pandangan secara beradab dan berlandaskan ilmu telah membawa kepada peristiwa tragis seperti Perang Jamal dan Perang ṢIffin.

Pertumpahan darah sesama Muslim ini bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal, malah mewujudkan perpecahan pemikiran dan teologi yang berpanjangan termasuk kemunculan kelompok-kelompok ekstrem.

Luka sejarah ini menjadi titik tolak kepada kitaran perpecahan yang terus berulang dalam pelbagai bentuk sepanjang zaman.

Andalusia dan Khilafah Uthmaniyah

Sejarah kejatuhan Andalusia menjadi bukti nyata bagaimana perpecahan dalaman melemahkan umat Islam. Sebelum wilayah ini ditawan sepenuhnya oleh tentera Kristian, Andalusia telah lama terpecah kepada lebih tiga puluh kerajaan kecil yang dikenali sebagai Muluk at-Tawaif.

Antara taifah (kumpulan) yang terkenal ialah Seville, Toledo, Zaragoza dan Badajoz. Setiap kerajaan kecil ini lebih sibuk mempertahankan kepentingan dinasti masing-masing berbanding memelihara kesatuan umat.

Akibat ketamakan kuasa dan hasad dengki, sebahagian pemimpin Islam sanggup bersekongkol dengan musuh Kristian, malah membayar ufti dan meminta bantuan ketenteraan untuk menjatuhkan saudara seagama sendiri.

Akhirnya, tindakan ini membuka laluan kepada kejatuhan Andalusia secara berperingkat sehingga berakhir dengan kejatuhan Granada pada tahun 1492 Masihi. Situasi yang hampir sama dapat diperhatikan dalam keruntuhan Uthmaniyyah.

Walaupun tekanan kuasa Eropah memainkan peranan besar, faktor dalaman seperti pengkhianatan elit, fahaman sekularisme melampau serta kebangkitan nasionalisme sempit telah mempercepatkan kejatuhan institusi khilafah yang sekian lama menjadi payung kesatuan umat Islam.

Punca dalaman yang terus berjangkit

Apabila sejarah ini dianalisis secara kritis, jelas kelihatan bahawa punca perpecahan umat Islam tidak banyak berubah.

RASULULLAH SAW berjaya menyatukan manusia di bawah paksi keimanan. Foto Canva

RASULULLAH SAW berjaya menyatukan manusia di bawah paksi keimanan. Foto Canva

Antara faktor utama ialah hasad dan dengki, fanatisme buta terhadap kelompok atau ideologi tertentu serta cinta dunia yang berlebihan sehingga prinsip agama diketepikan.

Selain itu, kelemahan dalam tabayyun menjadikan umat Islam mudah terpengaruh dengan fitnah, berita palsu dan propaganda.

Fenomena ini menjadi semakin kritikal dalam era media sosial, apabila penyebaran maklumat berlaku jauh lebih pantas berbanding proses penilaian kebenaran.

Dasar “langit terbuka” dalam dunia digital membolehkan sesiapa sahaja menjadi penyebar maklumat sekali gus mencetuskan kesan domino yang menyebabkan yang batil kelihatan benar dan yang benar tenggelam tanpa pembelaan.

Jalan menuju penyatuan semula Usaha menyatukan kembali umat Islam mesti bermula dengan kembali kepada prinsip asas bahawa orang beriman itu bersaudara.

Perbezaan pandangan dalam perkara cabang perlu diurus dengan ilmu, adab dan saling menghormati, tanpa menjejaskan kesatuan dalam perkara asas seperti akidah dan sumber rujukan.

Tazkiyat al-nafs (penyucian jiwa) juga merupakan kunci utama. Selagi hati dipenuhi sifat ego, kesombongan dan kepentingan duniawi, sebarang usaha penyatuan hanya akan tinggal sebagai slogan.

Di samping itu, penyatuan praktikal boleh diperkukuh melalui kerjasama ekonomi umat, pengukuhan institusi pendidikan serta pembinaan budaya pemikiran kritis yang berpaksikan nilai wasatiyah (kesederhanaan).

***Penulis, DR HASHIM AHMAD SHIYUTI merupakan Pensyarah Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan PROF DR MUSHADDAD HASBULLAH merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM

Ringkasan AI

  • Sejarah umat Islam mencapai kegemilangan ketika bersatu dan mengalami kemerosotan akibat perpecahan Perpecahan umat Islam lebih banyak berpunca dari kelemahan dalaman daripada tekanan musuh luar Zaman Rasulullah SAW menunjukkan kesatuan umat dapat dibina melalui akidah murni dan akhlak luhur Fitnah al-Kubra dan kejatuhan Andalusia menunjukkan perpecahan dalaman melemahkan umat Islam Menyatukan kembali umat Islam memerlukan kembalinya kepada prinsip bersaudara, ilmu, adab, dan tazkiyat al-nafs
Scroll to Top