Perpecahan sesama Islam ancaman besar kepada negara – Nooh

Perpecahan sesama Islam ancaman besar kepada negara – Nooh

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perpecahan dalam kalangan umat Islam menjadi ancaman utama terhadap kestabilan negara dan kelangsungan syiar Islam jika tidak ditangani, tegas Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1447H/2025M, Datuk Dr Nooh Gadot.

Bekas Mufti Johor itu berkata, hijrah Rasulullah SAW perlu difahami sebagai mesej besar untuk membina perpaduan, mengukuhkan kekuatan ummah dan memartabatkan nilai integriti – bukan sekadar sejarah atau sambutan simbolik saban tahun.

“Bukan antara Islam dan bukan Islam sahaja, tetapi sesama Islam juga. Perpecahan ini sangat membahayakan agama dan negara.

“Oleh sebab itu, pentingnya semua pihak termasuk ulama dan institusi istana berganding bahu dalam memperkukuh asas pemerintahan yang adil dan berlandaskan nilai Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Nooh turut mengingatkan bahawa peristiwa hijrah Rasulullah SAW membawa simbol kepada strategi membina kekuatan ummah melalui kerjasama semua golongan termasuk anak muda serta bukan Islam yang ikhlas membantu.

Katanya, kepimpinan masa depan negara perlu ditunjangi oleh individu berkemampuan akademik, celik al-Quran dan memiliki akhlak yang tinggi.

“Mungkin suatu hari nanti, menteri kita bukan saja profesional tetapi hafaz sekurang-kurangnya lima juzuk al-Quran,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam di negara ini supaya menjadikan makna hijrah sebagai satu perubahan paradigma yang berteraskan nilai dan ilmu, bukan sekadar acara tahunan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top