Perpustakaan Bergerak Hobi dilancar di Pulau Pinang

Perpustakaan Bergerak Hobi dilancar di Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) memperkenalkan satu tarikan baharu dikenali sebagai Perpustakaan Bergerak Hobi ataupun ‘Mobile Hobby (Mobby)’ yang pertama di Malaysia.

Pengarah PPAPP, Sharimah Salleh, berkata transformasi perpustakaan bergerak konvensional kepada perpustakaan bergerak lebih segar itu untuk memberi peluang masyarakat mendapatkan maklumat tambahan mengenai hobi dan minat masing-masing sesama komuniti.

Beliau berkata, perkhidmatan Mobby terbuka untuk semua masyarakat tanpa mengira usia dan ia dilengkapi koleksi bahan bacaan terkini bagi mereka yang berminat menambah pengetahuan serta maklumat terkini mengenai pelbagai jenis hobi.

“Kita akan cuba adakan kolaborasi dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan di bawah agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, sekurang-kurangnya hobi mengenai aktiviti pertanian mahupun perkebunan boleh dikembangkan lagi,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy selaku Pengerusi PPAPP melancarkan Mobby pada satu majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar, Mustapa Kamal Ahmad.

Sharimah berkata, buat permulaan Mobby akan bergerak di sekitar daerah Seberang Perai Tengah di 18 lokasi untuk dua minggu sekali mengikut jadual.

Beliau berkata, Mobby juga berupaya membantu masyarakat menjana pendapatan sampingan dengan menawarkan platform bagi mereka yang berminat memasarkan barangan masing-masing.

“Mobby bukan sekadar hobi, malah dapat membantu mendidik kanak-kanak dengan asas pembelajaran dunia kehidupan, seterusnya dapat meningkatkan lagi kesihatan fizikal, mental, sosial, komunikasi, spiritual dan kemahiran teknikal,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top