sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persaingan untuk merebut tempat kedua Liga Super antara Selangor FC dan Sabah FC semakin menarik disebabkan ia menawarkan tiket ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) II musim hadapan.
Malah, setiap pasukan yang layak beraksi di kejohanan kedua tertinggi di Asia itu, berpeluang untuk membawa pulang wang tunai yang cukup lumayan.
Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin berkata, berbaki tiga perlawanan yang akan datang, pasukan yang mampu mengekalkan prestasi sehingga aksi terakhir, mereka mempunyai peluang cukup tinggi untuk mengunci slot itu.
“Ketika ini kedudukan mata tidak jauh dan boleh dikatakan agak dekat. Selangor (43 mata) perlu terus konsisten dan tidak boleh kehilangan mata seperti perlawanan sebelum ini sementara Sabah (35 mata) masih ada peluang meskipun ia agak tipis untuk merampas tempat kedua.
“Selain mencari naib johan liga yang menjanjikan slot ke ACL II, saya melihat persaingan untuk berada dalam kedudukan lima terbaik juga menarik apabila kedudukan mata beberapa pasukan agak dekat,”katanya kepada Arena Metro.
Namun begitu, melihat kedudukan terkini, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi berkelebihan lapan mata di depan Sabah, Sulaiman merasakan Selangor mempunyai peluang lebih tinggi untuk menamatkan saingan di posisi dua terbaik liga musim ini.
Skuad The Red Giants hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk menghentikan perjuangan Sang Badak pada musim ini kerana mereka mempunyai jumlah perbezaan jaringan lebih besar dari Sabah.
Jika sesebuah pasukan layak beraksi di peringkat kumpulan ACL II, mereka akan diberikan ganjaran secara kasar iaitu sebanyak AS$300,000 (RM1.3 juta) tidak termasuk hadiah kemenangan dan sekiranya layak ke pusingan ke 16 terbaik, ia akan ditambah kepada AS$80,000 (RM 355,800), suku akhir AS$60,000 (RM711,600), separuh akhir AS$240,000 (RM 1.6 juta), naib johan AS$1 juta (RM4.4 juta) dan juara akan membawa pulang AS$3.28 juta (RM 14.5 juta).
Jika Selangor selaku wakil Malaysia berjaya muncul juara di kejohanan ini, mereka akan membawa pulang sekurang-kurangnya RM20 juta tidak termasuk bonus kemenangan dan lain-lain.
Selain itu, Terengganu FC dan Kuching City FC juga dilihat mempunyai peluang untuk berada di kedudukan ketiga liga dan persaingan antara pasukan ini juga akan menjadi sangat menarik kerana kemungkinan besar, pasukan yang mengakhiri persaingan liga di belakang Selangor, berpeluang menyertai Piala Shopee musim hadapan.
Sementara itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah mengesahkan kejuaraan kali ke-11 berturut-turut selepas menewaskan Perak FC 2-0 pada hujung bulan Februari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




