Persatuan Penduduk Islam hargai jasa pegawai Masjid Al Madaniah USJ 18

Persatuan Penduduk Islam hargai jasa pegawai Masjid Al Madaniah USJ 18
Persatuan Penduduk Islam hargai jasa pegawai Masjid Al Madaniah USJ 18

AMRAN (enam dari kanan) ketika program moreh bersama pegawai Masjid Al Madaniah USJ 18 di sebuah hotel di Shah Alam baru-baru ini.

BULAN Ramadan sering dikaitkan dengan ibadah, kebaikan dan amal jariah, namun ada satu kelompok yang sering terlepas pandang dalam diberi penghargaan iaitu para petugas masjid.

Menyedari hakikat ini, Persatuan Penduduk Islam (PPI) USJ 16-USJ 27 mengambil inisiatif untuk meraikan dan menghargai jasa petugas masjid termasuk imam, bilal dan siak Masjid Al Madaniah USJ 18, Subang Jaya baru-baru ini.

Pengerusi PPI USJ 16-USJ 27, Amran Ahmad berkata, pegawai masjid merupakan tulang belakang yang melancarkan perjalanan harian rumah ibadah berkenaan.

Menurutnya, pada bulan Ramadan tugas mereka menjadi lebih berat, ada yang bekerja hampir 24 jam bagi memastikan setiap urusan masjid berjalan lancar.

Ujarnya, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk sumbangan wang tunai kepada petugas masjid selain meraikan mereka dalam program moreh di sebuah hotel di Shah Alam.

Menurutnya lagi, ini merupakan kali pertama persatuan mengambil inisiatif tersebut.

“Selama ini kita sering memberi tumpuan kepada anak yatim dan asnaf, tetapi kita terlepas pandang golongan petugas masjid yang juga memerlukan bantuan.

“Kalau bukan kita yang menghargai mereka, siapa lagi? Mereka telah berkhidmat untuk masyarakat dan sewajarnya kita beri penghormatan kepada mereka,” katanya.

Amran berkata, inisiatif PPI diharap dapat menjadi contoh kepada masyarakat lain agar terus menghargai mereka yang berkhidmat tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Scroll to Top