ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bukit Jalil menjadi saksi percintaan hangat antara atlet lompat jauh negara, Andre Anura Anuar, dan jaguh wanita skuasy negara, Aifa Azman, yang sudah sah bergelar pasangan suami isteri pada 20 Disember lalu.
Walaupun berbeza sukan dan masing-masing masih aktif bergelar sebagai atlet negara ia tidak menghalang kedua-duanya bersatu sehingga ke jinjang pelamin selepas lima tahun bercinta.
“Mula mengenali dia (Andre) adalah ketika dia belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan ketika itu dia Pra Universiti, saya pula di tingkatan lima,” katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini.
Ujar Aifa, salah satu perkara yang membuatkan percintaan mereka kekal utuh adalah masing-masing saling memahami karier sebagai seorang atlet dan mudah untuk bertolak ansur jika perlu ke luar negara untuk menyertai kejohanan.
“Alhamdulillah semuanya sudah selesai (akad nikah dan resepsi di Kedah), sekarang masing-masing akan menumpukan kepada latihan dan kejohanan masing-masing terlebih dahulu, belum fikir soal berbulan madu.
“Hujung bulan ini saya perlu menyertai kejohanan di Amerika Syarikat (AS) jadi bila semua sudah selesai (urusan perkahwinan) kami kembali menyambung latihan seperti biasa,” katanya.
Walaupun pasangan berkenaan atlet kebangsaan, Andre dan Aifa tidak terbeban dengan komitmen itu, malah mahu menjadikannya sebagai alasan untuk membentuk kebahagiaan.
“Persefahaman antara mereka membuatkan mereka memilih untuk berkahwin kerana gaya hidup yang serupa, dan kami tetap komited dengan sukan,” katanya.
Selain mengenakan busana pengantin pada majlis akad nikah dan resepsi, kedua-dua pasangan juga dilihat sama cantik serta sama padan mengenakan pakaian tradisional kaum Murut iaitu asal-usul keluarga Andre.
© New Straits Times Press (M) Bhd



