Persembahan Anuar Zain memukau, berjaya kumpul dana RM130,000

Persembahan Anuar Zain memukau, berjaya kumpul dana RM130,000

ARAU: Penampilan penyanyi tersohor negara, Anuar Zain memukau lebih 300 tetamu yang hadir pada Majlis Hi-Tea Limpahan Kasih Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (Piskanita) Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Dewan Ilmu, Kampus Alam universiti berkenaan di sini hari ini.

Pelantun lagu popular lelaki ini itu meluangkan masa hampir satu jam menghiburkan tetamu menerusi lima buah lagu yang disampaikan seperti keabdian cinta, sesucinya cinta mu, bila resah dan sedetik lebih termasuk lelaki ini.

Majlis tersebut turut berjaya mengumpulkan dana lebih RM130,000 bagi membantu kanak-kanak autisme di bawah kendalian Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) Unimap.

Pengerusi Piskanita Unimap, Datin Azliza Ahmad berkata, dana yang dikumpul itu adalah bagi meningkatkan kesejahteraan anak-anak autisme dan usaha ini disambut baik oleh penaja serta tetamu yang hadir apabila sokongan yang diberikan amat memberangsangkan.

“Kita amat bertuah kerana MyUS Group of Companies dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) masing-masing telah menyumbang dana sejumlah RM40,000 kepada A-HEART bagi meningkatkan peluang serta kemudahan terapi cara kerja dan terapi deria kepada anak-anak autisme dalam kalangan ahli keluarga warga Unimap dan komuniti Perlis.

“Selain itu, kita turut mendapat sumbangan dana RM20,000 daripada Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan kami di Piskanita dan A-HEART komited untuk memanfaatkan sumbangan dana untuk meningkatkan kesejahteraan anak-anak autisme di Perlis,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut di sini hari ini.

Berangkat pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengerusi Eksekutif MyUS Group of Companies, Datuk Nellson Young dan pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Difahamkan, konsep kutipan dana itu adalah melalui tajaan dan jualan tiket secara individu atau berkumpulan dengan dana yang diterima bermula dari RM3,000 sehingga RM40,000.

Tambah Azliza, pihak penganjur menghargai bentuk sumbangan yang diberikan oleh syarikat, industri, agensi dan individu melalui pembelian, penajaan meja dan pelbagai lagi bentuk bantuan serta sokongan.

“Terima kasih, tidak kira kecil mahupun besar sumbangan tersebut, ia amat bererti dan bermakna buat anak-anak autisme yang sememangnya memerlukan perhatian dan bantuan bagi tujuan perkembangan pendidikan mereka pada masa hadapan.” katanya.

Sebanyak 48 agensi terlibat dalam menyumbang dan menaja acara gilang-gemilang itu yang turut dihadiri kanak-kanak autisme bersama ibu bapa masing-masing.

Dalam pada itu, Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli turut menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan penganjuran majlis amal itu.

“Majlis ini merupakan cerminan komitmen Unimap dalam menyumbangkan impak positif terhadap masyarakat sekali gus dibuktikan dengan kejayaan penganjuran yang menunjukkan kekuatan jaringan strategik antara universiti, Piskanita dan A-HEART,” katanya.-UTUSAN