Persembahan MLTR penuh nostalgia

Persembahan MLTR penuh nostalgia

am@hmetro.com.my

TIDAK dapat dinafikan, kumpulan legenda popular dari Denmark iaitu Michael Learns To Rock (MLTR) mempunyai pengaruh yang cukup besar dan memiliki jutaan pengikut di seluruh dunia.

Justeru, tidak hairan MLTR masih menjadi pilihan peminat tempatan meskipun sudah lebih tiga dekad menghiburkan peminat di Malaysia.

Bertempat di pentas Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands, baru-baru ini, MLTR sekali lagi berjaya menghiburkan lebih 4,000 peminat dengan persembahan penuh nostalgia, sekali gus meraikan legasi serta perjalanan muzik kumpulan itu.

Konsert berjudul Michael Learns To Rock: Encore All The Hits In Malaysia itu tampil dengan 18 ‘repertoire’ lagu hit termasuk segmen akustik dalam durasi 90 minit.

Penyanyi kumpulan itu, Jascha Richter, 62, dalam ucapannya berkata, mereka juga menzahirkan penghargaan kepada peminat dari negara Asia termasuk Malaysia yang menyokong muzik mereka sejak lebih tiga dekad.

“Kami sudah mengadakan persembahan di Malaysia lebih 25 tahun dan setiap kali ke sini, kami berasa seperti kembali ke rumah,” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan dari penonton.

Sebagai penghibur bertaraf legenda dan cukup berpengalaman, Richter bijak berinteraksi dengan penonton dan pada masa sama turut berkongsi cerita dan sejarah muzik kumpulan itu.

Selain Richter, kumpulan MLTR menampilkan anggota iaitu Mikkel Lentz, 56, (gitar) dan KÂre Wanscher, 56, (dram).

Hibur penonton dengan 18 lagu hit termasuk segmen akustik

Kumpulan MLTR memulakan tirai konsert dengan lagu Someday pada jam 6.15 petang.

Dari situ, kumpulan itu meneruskan persembahan dengan Lagu kegemaran penonton iaitu Sleeping Child yang sentiasa ada dalam ‘repertoire’ persembahan mereka.

Pada usia emas, MLTR tetap tampil dengan persembahan bertenaga dan berjaya menyampaikan setiap lagu ikonik mereka dengan baik serta berkesan pada penonton.

Lebih bermakna rata-rata penonton yang datang adalah peminat setia dan mereka juga sudah menghafal lagu ikonik kumpulan itu, sekali gus menyanyi bersama mereka.

Antara lagu hit kegemaran ramai yang disampaikan ialah 25 Minutes, The Actor dan You Are the One I Love.

Tidak ketinggalan, kumpulan itu turut mempersembahkan sisi rock mereka melalui lagu berjudul Wild Women, sekali gus menambahkan elemen dinamik pada persembahan mereka petang itu.

Persembahan 90 minit MLTR menghampiri penghujung apabila mereka menyampaikan lagu ikonik Paint My Love yang sudah menyentuh hati peminat sejak bertahun lalu.

Sebagaimana kebiasaan konsert di Malaysia, kumpulan itu kembali ke pentas selepas penonton bersorak dan kemudian menutup tirai persembahan menerusi dua lagu ikonik iaitu Take Me To Your Heart dan That’s Why (You Go Away).

Secara kesimpulannya, ia adalah konsert yang mengimbau nostalgia dan meraikan perjalanan muzik MLTR bermula dari awal pembabitan hingga sekarang kerana rangkaian lagu malar segar yang terus bertahan sepanjang zaman.

Konsert ini dianjurkan MMIC Entertainment Group dam JS Concert Productions selaku promoter.

Mengimbas latarnya, sejak ditubuhkan pada 1988, MLTR sudah menyentuh hati jutaan peminat dari pelbagai generasi di seluruh dunia menerusi lagu malar segar mereka.

Lagu ikonik mereka seperti The Actor, Paint My Love, 25 Minutes dan That’s Why (You Go Away) terus menjadi siulan dan penyebab utama konsert mereka sentiasa dipenuhi peminat setia di mana saja mereka membuat persembahan.

Dengan hampir 1,000 persembahan secara langsung di seluruh dunia, pelbagai anugerah emas dan platinum, lebih 11 juta album terjual serta 1.5 bilion penstriman, MLTR kekal relevan dan terus mencipta sejarah sebagai salah satu kumpulan paling lama bertahan dalam industri muzik antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top