Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi

Persenda titah sultan: Tony Pua biadab, bagai kaduk naik junjung – Asyraf Wajdi

SHAH ALAM- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyelar kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua mengenai kuasa raja dan menganggap ia sesuatu perkara yang biadap.

Asyraf Wajdi berkata, Tony Pua ini bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas.

“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja.

“Bila Titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab. UMNO bersama Tuanku!” ujarnya menerusi laman Facebook pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tony Pua dakwa kuasa raja terhad pada aspek tertentu

Sebelum ini, himpunan Daulat Tuanku pada Sabtu lalu memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu agar diwujudkan sebuah Lembaga Kesetiaan Negara yang berperanan menilai serta mengesyorkan tindakan perlucutan taraf kewarganegaraan terhadap mana-mana individu atau pihak yang melakukan tindakan biadab, penderhakaan dan penghinaan baik dari segi percakapan, penulisan atau apa jua bentuk perbuatan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Lembaga ini dicadangkan dianggotai oleh sembilan (9) anggota yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Bagaimanapun, pada Selasa Tony Pua mengeluarkan kenyataan bahawa semua rakyat Malaysia perlu memahami Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia dengan teliti selaras dengan sistem raja berpelembagaan yang menjadi tunjang pentadbiran negara.

Beliau berkata, Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan kuasa raja berbeza sedikit mengikut negeri.

 

Scroll to Top