London: Persengketaan Brooklyn Beckham dengan ibu bapanya dilaporkan semakin ‘tidak terkawal’, menurut satu sumber yang mengenali pasangan itu, semalam.
Konflik berpanjangan Brooklyn dengan ibu bapanya, David dan Victoria Beckham terus menjadi perhatian umum apabila keadaan menjadi semakin tegang selepas peguam terlibat.
Laporan mendakwa Brooklyn, 26 tahun, menghantar surat undang-undang kepada ibu bapanya walaupun mereka berharap hubungan itu dapat diperbaiki.
Menurut seorang individu dalaman yang mengenali Brooklyn dan isterinya, Nicola, persengketaan itu kini ‘semakin tidak terkawal’.
“Brooklyn sanggup melakukan apa sahaja untuk membahagiakan Nicola, tetapi keadaan ini sudah keterlaluan,” kata sumber itu kepada Page Six. “Saya tidak dapat membayangkan dunia di mana Brooklyn tidak mahu berjumpa ibu bapanya lagi.”
Mengenai David dan Victoria pula, sumber tersebut menambah: “Apa yang mereka mahukan hanyalah untuk memperbaiki hubungan dengan anak lelaki dan menantu mereka. Mereka masih berharap dan percaya bahawa suatu hari nanti mereka akan dapat bersatu semula.”
Seorang lagi sumber mendakwa Brooklyn membuat keputusan untuk menyekat ibu bapanya demi kesihatan mentalnya, sambil menambah keputusan itu dibuat oleh Brooklyn selepas percubaan berterusan untuk menetapkan batasan tidak diendahkan, dan Nicola akan sentiasa menyokong keputusannya. Jika suatu hari Brooklyn mahu berjumpa keluarganya, Nicola akan menyokongnya.”
Brooklyn dan Nicola menetap bersama di Amerika Syarikat sejak perkahwinan mereka pada 2022.
Anak sulung David dan Victoria itu dilaporkan semakin rapat dengan keluarga isterinya, termasuk bapa Nicola, pelabur bilionair Nelson Peltz yang memberinya nasihat dan sokongan dalam bidang perniagaan.
Page Six mendakwa hubungan antara kedua-dua keluarga sudah dingin sebelum Nicola berkahwin dengan keluarga Beckham kerana mereka datang daripada latar belakang sangat berbeza.
Beckham dan Victoria merupakan bintang antarabangsa hasil kerjaya masing-masing. Beckham pernah menjadi antara pemain bola sepak paling dikenali pada zamannya menerusi aksi bersama Manchester United dan Real Madrid, manakala Victoria pula merupakan sensasi muzik sebagai anggota kumpulan gadis terkenal, Spice Girls.
Sementara itu, Nelson Peltz, 83 tahun, adalah salah seorang tokoh kewangan paling berpengaruh pada eranya, dan isteri keduanya, Claudia Heffner, merupakan seorang model fesyen yang berjaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




