Persepsi negatif terhadap Bukit Malut tidak berasaskan fakta – Ahli Akademik

Persepsi negatif terhadap Bukit Malut tidak berasaskan fakta – Ahli Akademik

Langkawi: Persepsi yang sekian lama mengaitkan penempatan Bukit Malut di sini dengan etnik Rohingya, kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah disifatkan sebagai tidak berasaskan fakta serta bercanggah dengan realiti semasa berdasarkan data rasmi pihak berkuasa.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Mohd Na’eim Ajis berkata majoriti penduduk di kawasan itu merupakan warganegara Malaysia yang memiliki MyKad yang sah.

Beliau berkata berdasarkan kajian serta data yang dikeluarkan pihak berkuasa, kira-kira 92.2 peratus daripada 5,500 penduduk Bukit Malut memiliki MyKad, sementara selebihnya ialah penduduk yang mempunyai masalah isu dokumentasi.

“Ada pihak yang mendakwa Bukit Malut ialah penempatan etnik Rohingya atau lokasi pendaratan mereka, selain melabel kawasan ini sebagai penempatan warga asing. Bagi saya, tanggapan itu tidak tepat.

“Malah, kawasan ini juga sering dikaitkan dengan penyeludupan dadah dan dianggap sebagai lokasi panas jenayah.

“Namun, data pihak berkuasa menunjukkan kadar jenayah di sini adalah rendah, bahkan tiada kes jenayah berat direkodkan sepanjang lima tahun kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau penempatan itu di sini, hari ini.

Mohd Na’eim berkata persepsi negatif yang terus membelenggu Bukit Malut perlu diperbetul kerana penduduk di kawasan itu merupakan rakyat Malaysia yang berhak menerima layanan dan peluang pembangunan sama seperti komuniti lain di negara ini.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan kerajaan merangka pelan pembangunan yang komprehensif bukan sahaja untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, malah menghapuskan stigma yang membayangi komuniti tersebut sejak penempatan itu diwujudkan kira-kira empat dekad lepas.

Mengulas sejarah penempatan berkenaan, beliau berkata Bukit Malut mempunyai latar belakang yang berkait rapat dengan era pendudukan Jepun antara 1942 hingga 1945 apabila ribuan penduduk Tanah Melayu, termasuk dari Kedah, dipaksa menjadi buruh bagi pembinaan landasan Kereta Api Maut di Burma.

Beliau berkata selepas perang berakhir, sebahagian buruh paksa yang berasal dari Kedah menetap di Ranong, sebuah kawasan berhampiran dengan sempadan Thailand dan Myanmar.

“Pada sekitar 1980-an, hasil inisiatif Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah, kumpulan etnik Melayu yang berasal dari Kedah ini dibawa pulang dan ditempatkan di Langkawi atas pertimbangan kemanusiaan dan kemudiannya dikenali sebagai Melayu Islam Kedah (MIK),” katanya.

Usaha menangani isu yang membelenggu Bukit Malut, katanya, tidak seharusnya tertumpu pada aspek penempatan semula semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi strategi komunikasi awam yang mampu membetulkan persepsi masyarakat terhadap kawasan itu.

“Kita perlu mengubah imej Bukit Malut kepada imej yang lebih positif. Dakwaan bahawa kawasan ini sarat dengan jenayah perlu dijelaskan oleh pihak berkuasa berdasarkan fakta sebenar.

“Satu kerangka khusus perlu diwujudkan bagi mengubah persepsi tersebut. Misalnya, institusi pengajian tinggi boleh melaksanakan program khidmat komuniti seperti gotong-royong dan aktiviti kemasyarakatan di sini supaya masyarakat luar dapat melihat sendiri keadaan sebenar Bukit Malut,” katanya.

Sebelum ini, beberapa laporan mengaitkan Bukit Malut sebagai penempatan etnik Rohingya serta kawasan transit pengedaran dadah di pulau peranginan itu, selain turut menjadi perhatian berikutan isu pemilikan tanah yang melibatkan pelbagai pihak.

Difahamkan, setakat Mei lepas, Bukit Malut dianggarkan dihuni kira-kira 5,500 penduduk dengan lebih 1,400 rumah dibina di kawasan daratan dan perairan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top